CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Friday, March 20, 2009

Dialah Lagenda Saya, Kita & Semua..

Pagi tadi apabila tidak ada apa-apa yang ingin dilakukan (sebenarnya ada tapi saya malas), saya menonton Astro Prima di saluran 105. Bila tengok ruangan info ada pulak cerita P.Ramlee, Tiga Abdul. Dalam ramai-ramai adik beradik saya, hanya saya seorang yang suka menonton filem lakonan P. Ramlee walaupun filem itu diulang berkali-kali. Seronok sungguh saya bergelak ketawa bila menonton filem Tiga Abdul. Hilang rasanya tekanan dan bebanan kerja.

Ini sedikit info tentang P.Ramlee dari simpanan saya:-

1. P.Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Bin Teuku Nyak Putih dilahirkan pada 22 Mac 1929 di rumah neneknya di 40A Counter Hall, Penang. Ayahnya bernama Teuku Nyak Putih Teuku Karim dan ibunya bernama Che Mah Hussien.

2. P.Ramlee buat pertama kalinya mendirikan rumah tangga dengan anak salah seorang seniman ketika itu. Isterinya yang dimaksudkan ialah Junaidah Daeng Haris. Melangsungkan perkahwinan mereka pada tahun 1953. Kemudian mereka dikurniakan 2 orang cahaya mata. Iaitu, Mohd Nasir dan Arfan.

3. Setelah bercerai pada tahun 1954, P.Ramlee berkahwin dengan Norizan pada 6 Februari 1955. Namun begitu perkahwinan mereka tidak dapat bertahan lama. Mereka bercerai pada tahun 1961.

4. Pada tahun yang sama, P.Ramlee bertemu dengan Salmah Ismail atau pun lebih dikenali dengan nama Saloma. Kemudiannya mereka telah diijab kabulkan pada 21 November 1961. Saloma telah menemani P.Ramlee dalam suka mahupun duka sehingga ke akhir hayat P.Ramlee.

5. Sepanjang perkahwinan, P.Ramlee cuma mempunyai 2 orang anak. Iaitu Nasir dan Arfan. Oleh kerana itu, P.Ramlee telah pun mengambil beberapa orang anak angkat. Diantaranya ialah Betty, Zakiah @ Zazaloma, Sabaruddin @ Badin dan akhir sekali Dian.


6. Beliau meninggal ketika berusia 44 tahun pada pagi Selasa 29 Mei 1973 kerana diserang sakit jantung. Jenazahnya telah disembahyangkan di Masjid Kampung Baru dan dikebumikan di Tanah Perkuburan orang-orang Islam di Jalan Ampang.


7. P.Ramlee telah berlakon sebanyak 66 buah filem dan telah menghasilkan 359 buah lagu.

8. Bagi mengenang jasa dan sumbangannya tidak ternilai, Allahyarham telah dianugerahkan Bintang Kebesaran Darjah Panglima Setia Mahkota oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung pada tahun 1990 yang membawa gelaran Tan Sri.

Inilah serba sedikit tentang P.Ramlee yang saya tahu. Sebenarnya banyak lagi yang saya tidak tahu mengenai Lagenda kita Allahyarham Tan Sri Teuku Zakaria Teuku Nyak Putih. Walaupun beliau telah meninggalkan kita selama 36 tahun namun lagu-lagunya dan filem-filemnya tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas. P.Ramlee pernah berkata kepada salah seorang sahabatnya yang beliau mahu hidup sampai 1000 tahun lagi. Walaupun itu hanya kata-kata gurauan namun kini kata-kata itu beransur-ansur menjadi realiti. Buktinya setelah 36 tahun pemergiannya namun kita masih boleh ketawa bila melihat kelucuannya di layar perak, menangis bila filemnya menyayat hati dan asyik apabila mendengar beliau mendendangkan lagunya. Sehingga ke hari ini masih belum ada sesiapa yang dapat menandingi kehebatan beliau sebagai seniman serba boleh. Dialah lagenda saya, kita dan semua...

** sekiranya ada kesilapan dalam info saya ini, saya mohon maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki. Ianya tidak disengajakan.

2 comments:

zara aluwi said...

Salam Shelly,
Kak pun suka tengok cerita-cerita lakonan Allahyarham TS P.Ramlee ni, terutamanya cerita-cerita komidi. Memang best. Walau dah tengok berkali-kali masih tidak membosankan.

shelly Yusop said...

Salam kak zara,
Begitulah hebatnya seniman kita ni. Dari yang tua sampai yang muda pun boleh menonton ceritanya. Bintangnya sehingga kini belum ada yang dapat mengganti lagi.
'Dia satu-satunya, diantara berjuta, insan teristimewa...'