CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Friday, October 10, 2008

Kehidupan Ramadhan Tanpa Ibu..

Lagi sehari seluruh umat Islam di dunia ini akan menyambut hari lebaran. Hari kemenangan setelah sebulan kita berpuasa. Bagi saya, hari raya tahun ini langsung tiada makna dalam kehidupan saya sekeluarga. Teringat kepada ibu yang telah pergi menyahut panggilan Ilahi pada 26 Julai yang lalu. Entah bagaimanalah agaknya pagi raya nanti ye? Tentu penuh dengan tangisan syahdu. Selepas ibu dan abah bercerai pada 1995, kehidupan saya banyak dipengaruhi oleh arwah ibu. Kami menjadi terlalu rapat sehingga sukar dipisahkan. Mungkin disebabkan hidup dengan kesemuanya perempuan (kami 4 beradik perempuan) menjadi lebih mudah.

Kini segala-galanya sudah tiada lagi. Suka atau tidak saya terpaksa melaluinya sendiri. Saya terpaksa menjadi seorang yang kuat untuk adik-adik saya. Sengsaranya saya sebab saya terpaksa menangis dalam bilik air semata-mata tidak mahu adik melihat saya bersedih. Dulu semuanya mudah. Kalau dibulan puasa ni, mesti arwah ibu akan masakkan makanan yang menjadi kegemaran kami sekeluarga. Jarang air tangan arwah ibu saya tidak menjadi. Apa saja masakan pasti arwah ibu saya tahu. Walaupun saya telah berkahwin dan tinggal berasingan, namun setiap kali bersahur arwah ibu saya yang akan mengejutkan saya dengan deringan telefon. Kemudian saya dan suami akan bergegas ke rumah arwah ibu untuk makan bersahur bersama. Arwah ibu saya suka andai kami dapat makan bersama. Bila sampai saja segalanya sudah tersedia di atas meja. Arwah ibu jarang terlajak tidur. Jadi 30 hari saya akan bangun dan memandu ke rumah arwah ibu untuk bersahur. Ohhh… saya amat merindui saat itu… Semua itu tidak mungkin akan terjadi lagi. Kerana ibu sudah tiada untuk mengejutkan saya untuk bangun sahur setiap pagi. Sekarang saya pula yang mengambil tanggungjawab arwah ibu. Memasak seawal jam 4 pagi, mengejutkan suami dan adik-adik untuk bersahur menjadi rutin saya dibulan Ramadhan yang mulia ini. Awal-awal Ramadhan dulu, saya terlalu sedih sehingga saya tidak mampu untuk memasak. Suami yang menemani saya di dapur (walaupun tidur di tepi kitchen cabinet).

Persiapan raya tahun ini langsung tiada. Ada tidak ada baju sepasang. Itupun baju tersebut arwah ibu yang membeli untuk kami seorang sepasang. Kalau ikutkan saya memang langsung tidak mahu menempah baju raya. Mengenangkan itu adalah kain pemberian arwah ibu, saya menempah juga. Kalau arwah ibu ada tentu saya tak perlu menempah baju di tempat lain. Arwah ibu pandai menjahit baju. Biasanya arwah ibu yang menjahit dan adik saya yang no 2 akan menjahit manik di leher dan lengan. Musim raya ni memang selalu ramai yang akan menempah baju raya dekat arwah ibu. Kata mereka jahitan ibu halus dan sedap dipakai. Saya pun selesa mengenakan baju kurung yang arwah ibu jahitkan. Saya takkan merasa lagi memakai pakaian yang arwah ibu jahitkan. Saya rindukan arwah ibu… Malangnya saya tidak sempat menuntut ilmu menjahit dari arwah ibu. Saya betul-betul menyesal kerana sering menangguhkan untuk belajar menjahit. Kini saya terpaksa mencari orang lain pula untuk belajar. Mungkin saya akan mula belajar selepas raya nanti.

0 comments: