CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Wednesday, October 15, 2008

Cerita Raya Saya

Sudah 15 hari kita menyambut hari raya Aidilfitri. Walaupun baru kehilangan ibu tercinta saya tetap merayakan hari raya ini dengan penuh keserhanaan. Saya mencuba untuk menjadi setabah mungkin pada pagi raya. Namun bila tiba saat untuk bermaaf-maafan antara satu dengan yang lain, kesyahduan dan kepiluaan menghambat hati saya. Saya masih boleh menahan kesedihan ketika memohon ampun dan maaf dari suami saya. Tetapi apabila tiba detik adik saya memohon ampun dan maaf daripada saya dan suami, air mata seakan tidak dapat dibendung lagi. Menitis jua air mata saya di pagi syawal. Pertama kali saya merasakan bahawa tanggungjawab saya terlalu berat untuk dipikul. Saya perlu mengambil tugas menjaga tiga orang adik saya yang masih belum berkahwin. Terima kasih juga kepada suami saya yang sentiasa membantu saya memikul tanggungjawab ini.

Terasa benar kerinduan saya kepada arwah ibu saya pada masa ini. Adik bongsu saya sedang memohon ampun dan maaf daripada suami saya.


Gambar ini dirakamkan di rumah kampung saya di Seri Menanti Kuala Pilah. Yang bertudung oren adik ketiga saya Sue, adik kedua saya Shila, suami, saya dan yang berbaju merah jambu merupakan adik bongsu saya Sukma. Inilah kali pertama bergambar di pagi raya tanpa arwah ibu.

Yang ditengah-tengah ini adalah satu-satunya kakak kepada arwah ibu saya. Arwah ibu saya tidak mempunyai adik-beradik yang lain. Maklong saya ini mempunyai dua orang anak lelaki yang masih bersekolah (arwah ibu saya kahwin dahulu dari maklong) tetapi paklong saya telah meninggal dunia 4 tahun yang lalu. Keluarga kecil saya bertambah kecil dengan kehilangan ibu saya pula.

Inilah cerita raya keluarga saya. Walaupun masih diselubungi kesedihan, saya sekeluarga tetap meneruskan tradisi mengunjungi saudara mara terdekat pada hari raya ini. Dan saya pula mengambil kesempatan untuk memohon maaf kepada saudara mara yang saya kunjungi sekiranya selama hayat arwah ibu saya, arwah pernah menyakiti dan terkasar bahasa. Rata-rata saudara yang saya kunjungi mengatakan bahawa kemeriahan hari raya ini memang terasa suramnya kerana tiada keriuhan dan keceriaan suara arwah ibu saya. Seperti yang saya katakan sebelum ini, arwah ibu adalah seorang yang peramah dan ceria serta suka mengusik saudara mara yang lain. Kini segalanya tinggal kenangan. Tinggalah saya dengan kenangan manis bersama arwah ibu saya selama 28 tahun usia saya sekarang.

Ibu...Sukarnya untuk aku menerima kehilanganmu. Dunia seakan berhenti berputar. Segalanya nampak gelap dan suram... Oh... aku benar-benar merinduimu....
Posted by Picasa

0 comments: