CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Friday, October 17, 2008

Anak Manja Saya..

Inilah anak manja saya Nur Adlyn Nazura.

Saya menjadikan pengalaman menjaga Adlyn ini adalah sesuatu yang sangat indah dalam hidup saya. Sebetulnya Adlyn adalah anak jiran saya. Rumahnya di sebelah rumah arwah ibu saya. Saya menjaga anak ini dari anak ini berusia sebulan lagi. Saya rasa puas dapat melihat tumbesarannya setiap hari. Adlyn merupakan anak ketiga dari empat orang adik beradik. Arwah ibu saya pula sangat rapat dengan Adlyn. Kemana sahaja pasti digendong anak ini sekali. Sekali sekala apabila saya bercuti saya akan membawa Adlyn bersama-sama.
Mulannya saya hanya membawa Adlyn balik kerumah saya setiap hujung minggu sahaja. Tetapi bermula awal tahun ini apabila Adlyn telah mula bersekolah, saya membawa pulang ke rumah saya setiap hari. Saya menanggung perbelanjaan Adlyn sepenuhnya. Termasuklah yuran persekolahan, makan, minum dan sebagainya. Malahan kadang kala saya lihat Adlyn lebih bergaya daripada adik beradiknya yang lain (kerana saya belikan pakaian yang mahal). Walaupun begitu saya tetap membelikan pakaian untuk adik-beradiknya yang lain juga. Tiba hari raya saya rasakan seolah-olah saya mempunyai anak ramai kerana terpaksa berpusu-pusu untuk membeli pakaian budak.
Alhamdulillah.. ibu dan ayah Adlyn sangat memahami kesunyian saya dan suami. Mereka memberikan sepenuh kepercayaan kepada saya dan suami untuk menjaga Adlyn. Bila cuti sekolah saya membawa ketiga-tiga beradik Adlyn tinggal dirumah saya. Barulah riuh rumah saya dengan suara mereka.
Saya tidak mengharapkan apa-apa dari Adlyn. Saya dan suami hanya menumpang manja. Pada ibu bapa Adlyn juga saya terangkan perkara yang sama. Mereka sangat-sangat memahami. Mungkin kerana mereka juga sangat rapat dengan arwah ibu saya. Kami selalu bercuti bersama-sama. Saya tidak tahu sampai bila saya akan menjaga Adlyn. Tapi saya akan pastikan selama Adlyn bersama saya, saya akan memberikan sepenuh perhatian dan kasih sayang yang tidak berbelah bagi. Bila pertama kali Adlyn memanggil saya Mama, saya rasakan saat itu perasaan yang sangat luarbiasa menular dalam hati saya. Mungkin saya terlalu mengharapkan panggilan mama itu datang dari anak saya sendiri. Apapun Adlyn tetap Adlyn. Saya akan terus menjaga dan membesarkannya sehingga akhir hayat saya. Walaupun siapa tahu masa depan saya mempunyai anak sendiri, Adlyn tetap mempunyai keistimewaan sendiri..

0 comments: