CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Thursday, October 16, 2008

Keguguran & Pembedahan

Saya telah hampir 5 tahun melayari alam perkahwinan. Namun sehingga ke hari ini saya dan suami masih belum dikurniakan cahayamata. Mungkin belum rezeki saya. Walaupun begitu saya telah 2 kali merasai pengalaman mengandung. Kandungan yang pertama telah mencecah hampir 11 minggu. Seawal 9 minggu saya dah mabuk teruk. Bangun pagi mesti muntah dulu. Kepala berat tak payah cakap la. Memang tak boleh bangun. Saya pun tak pasti mengapa kandungan saya gugur. Apa yang dapat saya katakan mungkin bukan rezeki saya. Selepas itu saya masih terus mencuba untuk mengandung. Selepas beberapa lama baru saya mengandung kali kedua. Kali ini pun saya mendapat 'morning sickness' yang teruk. Tapi tak lama kerana bila usia kandungan 5 minggu, saya keguguran lagi. Perasaan saya mula tidak stabil. Saya rasa sangat tertekan. Lebih-lebih lagi bila kawan-kawan dan saudara mara mula bertanya. Alhamdulillah suami menjadi penguat semangat.

Bila mencuba secara tradisional tidak menjadi, saya terus mendapatkan khidmat pakar di damansara. Saya berjumpa dengan Dato' Prof Haji Hamid Arshad dan mencuba kaedah yang dicadangkan. Malangnya setelah discan didapati rahim saya dalam keadaan terbalik. Dan cara terbaik adalah operation untuk membetulkan kedudukan rahim. Saya disuruh balik dan berbincang bersama suami. Hampir satu minggu saya mengambil masa untuk memikirkan perkara tersebut. Setelah berfikir semasak-masaknya saya mengambil keputusan untuk melakukan operation itu. Saya sayangkan rumahtangga saya dan suami. Saya lakukan ini semata-mata untuk kebahagian rumahtangga saya. Suami adalah pemberi peransang yang utama.

Tiba hari dijanjikan saya terus membuat pendaftaran untuk mendapatkan nombor pertama yang membuat pembedahan. Walau dalam takut-takut saya gagahkan diri untuk melangkah masuk dan diberi sepersalinan pakaian biru. Bila dah memakai baju bedah ni hati dah jadi tak keruan. Saya katakan pada suami saya ingin balik dan tidak mahu membuat pembedahan ini. Suami memujuk dan terus memujuk. Waktu jururawat membawa kerusi roda kepada saya untuk dibawa ke bilik pembedahan, saya rasa sangat takut. Mujur suami ada dan memberi semangat. Saya berjalan sendiri ke bilik pembedahan tanpa kerusi roda. Sebelum itu saya sempat memohon maaf pada suami saya atas semua kesalahan saya dan meminta suami saya mendoakan agar segalanya lancar. Selepas dibius saya dah tak ingat apa-apa lagi kecuali saya mendengar sayup-sayup suara prof memanggil saya. Sedikit demi sedikit suara itu hilang dan terus hilang.....

Walau hati gundah saya sempat juga berposing sebelum masuk bilik pembedahan.

Ni senyum takut... Dalam hati hanya Tuhan yang tahu...

Sedar dari pengsan saya dapati suami berada disisi saya. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Waktu saya sedar saya masih lagi tidak berasa sakit. Mungkin kesan ubat bius itu masih ada. Menjelang petang tempat yang dijahit itu mula rasa berdenyut. Saya mula menangis. Saya terus dyiberi ubat penahan sakit. Oleh kerana suami tidak dibenarkan menjaga isteri, suami saya pulang ke Seremban. Tinggallah saya tidur malam itu ditemani jururawat yang baik. Malam itu saya terasa ingin membuang air kecil. Puas saya tahan tapi tak dapat. Saya panggil jururawat. Saya diberi bekas untuk kencing. Kata jururawat saya tak boleh bangun lagi. Tapi puas saya teran namun kencing saya tak keluar-keluar. Saya beritahu kepada jururawat. Dengan semangat yang kuat saya cuba bangun. Dan dengan dibantu oleh jururawat saya sampai juga di bilik air. Kesakitan jangan cakap. Memang sakit...

Walaupun kesakitan itu masih lagi terasa, saya gagahkan diri. Esoknya saya dibenarkan keluar. Sukanya hati saya sebab tak perlu terbaring saje di katil. Dirumah saya dijaga oleh jururawat lain iaitu arwah ibu. Rupanya jururawat dirumah lagi garang kerana hari-hari saya terpaksa makan ikan haruan. Kadang-kadang bila arwah ibu panggil saya makan saya buat-buat tidur. Sebabnya saya tak suka ikan haruan. Geli hati saya bila teringatkannya...

Kini dah hampir dua tahun saya di operate namun hingga kini saya belum dikurniakan rezeki. Saya redha kerana saya telah berusaha. Yang lainnya saya serahkan kepada Tuhan yang maha kuasa. Kini saya masih terus berusaha. Semoga satu hari nanti saya akan dikurniakan anak sendiri. Insyaallah...
Posted by Picasa

0 comments: