Hari ini 23 Jun merupakan tarikh kelahiran arwah ibu saya. Jika arwah ibu masih ada usianya menjangkau 51 tahun pada tahun ini. Pada tarikh ini juga tahun lalu arwah ibu saya menyambutnya di Hospital Pantai Ayer Keroh, Melaka. Tak sangka begitu pantas masa berlalu. Pejam celik pejam celik rupanya sudah hampir setahun arwah ibu meninggalkan saya. Sedari semalam hati saya tidak tenteram. Cuba menyibukkan diri dengan bermain bersama Balqish namun hati tetap hiba. Saya fikir saya seorang yang sangat kuat semangat. Namun saya sedar saya tidak setabah yang disangka. Rupanya pemergian ibu membawa separuh semangat saya. Mujur Balqish ada menjadi pengganti. Dengan diri yang tidak bersih membuatkan saya menjadi tidak tentu arah. Saya tidak dapat sembahyang dan mengaji untuk menenangkan hati. Lantas emosi seringkali menguasai diri.
Dulu hati sering tertanya-tanya, mengapa saya diserahkan kepada saudara untuk dibela. Mengapa ibu tidak mahu menjaga saya seperti ibu menjaga adik-adik saya yang lain. Dipelihara dalam suasana yang berbeza seringkali membuatkan saya kekok dihadapan adik beradik sendiri. Segala yang berlaku sewaktu zaman kecil saya di rumah saudara semuanya saya telan sendiri. Walau sedih, hiba, gembira, terasa dan bermacam perasaan didada, saya jadikan azimat untuk menempuh alam remaja. Sayangnya saya pernah tergelincir di zaman remaja akibat pemberontakan yang berlaku dalam diri saya. Bertahun terkurung di dunia ciptaan mak saudara membuatkan saya tidak sabar mencari haluan dan kegembiraan sendiri apabila umur sudah cukup menginjak dewasa. Ketika itu perasaan sayang pada ibu amat kurang sekali. Apa yang penting hati dan perasaan terluka saya kerana penyerahan yang ibu lakukan. Benarlah kata orang, cinta itu sangat besar pengaruhnya. Kerana cinta saya pada kekasih (kini suami saya), saya mula berpaling pada kasih sayang seorang ibu. Suami yang ketika itu menjadi kekasih hati saya sangat rapat dengan ibunya menjadikan saya termalu sendiri. Alangkah ruginya saya menghabiskan hidup saya dengan menyalahkan ibu dengan kesalahan yang belum tentu benar salahnya. Akhirnya kebenaran terbentang jua... meninggalkan kesan mendalam dalam hidup saya.
Saya mula mengenali ibu sendiri setelah saya selamat diijabkabulkan. Segala-galanya begitu jelas. Semua yang ibu lakukan pada saya hanya kerana rasa kasihnya. Ketika saya sakit kerana keguguran yang berkali-kali, ibulah yang sanggup memasakkan saya dan menjaga saya seperti saya sedang berpantang. Begitu juga ketika saya terpaksa dibedah, ibulah yang memandikan saya dan mencuci setiap inci tubuh badan saya tanpa mengeluh sedikit pun. Ketika itulah kasih dan sayang saya tumpah pada ibu. Segala yang saya lakukan hanya untuk ibu dan suami. Semuanya indah sehinggalah tarikh keramat itu datang...
Bermula dengan jatuh dalam bilik air pada 7 jun 2008 sehinggalah 26 Julai 2008, saya menjaga ibu dengan sepenuh hati saya. Saya fikir inilah masa dan saatnya saya membalas segala yang pernah ibu lakukan untuk saya. Walaupun ketika itu ibu sudah tidak dapat mengingati saya lagi namun saya pasti ibu tahu saya sayangkannya. Saya lakukan tugas rutin tanpa mengeluh walaupun berkali-kali najis ibu terkena pada muka dan badan saya. Saya tahu kalau ibu tidak strok, tentu saja ibu tidak akan sebegitu. Ibu sentiasa mahu kelihatan cantik dan pandai bergaya. Penampilan ibu sering mendapat pujian rakan-rakannya. Saya pun kadang-kadang kagum dengan aura yang ibu tonjolkan. Sentiasa yakin dan peramah orangnya.
Kini semuanya tinggal kenangan buat saya. Hari ini saya lalui dengan penuh kepayahan. Saya hanya mampu berdoa di dalam hati agar Tuhan mengampunkan dosa-dosa saya pada ibu dan memberi kemudahan kepada ibu di sana. Banyak yang saya kesalkan namun untuk menyesalinya tidak berguna lagi. Apa yang penting terus mendoakan kesejahteraan ibu disana dan menyuburkan rasa kasih yang ibu tinggalkan. Kasih ibu membawa ke syurga...
Pada sahabat semua, hargailah ibu semasa hayat masih ada. Berbuat baiklah kepada mereka. Sekiranya kebajikan mereka terjaga, insyaallah segala yang kita lakukan akan success dan berjaya berkat doa mereka.. Bagi saya walaupun ibu sudah tiada selain doa yang tidak putus-putus hanya kasih sayang yang terus saya tanamkan dalam jiwa adik-adik dan anak saya. Sehinggakan Balqish yang tidak pernah berjumpa neneknya pun sering saya ceritakan mengenai perilaku neneknya. Saya mahu Balqish mengenali dan merasai kasih neneknya walaupun neneknya telah tiada. Untuk arwah ibu.... Al-fatihah...
6 comments:
Assalamualaikum Shelly,
"SELAMAT MENYAMBUT HARI KELAHIRAN & SELAMAT HARI IBU"
Rasanya belum terlewat lagi untuk akak mengucapkannya kepada kamu. Akak mungkin tidak sedar Shelly udah menghupdetkan blog. hehehe maaf ya.
Kisah kita mungkin sama, kerana dibesar dan dididik oleh orang lain. Apa-apa pun, kasih dan sayang terhadap ibu dan ayah tetap ada.
Al-Fatihah buat arwah ibu Shelly. Semoga rohnya dicucuru rahmat dan ditempatkan di tempat orang-orang beriman. Amin.
Waalaikumsalam kak zara,
Terima kasih atas ingatan akak pada shelly. Lama sungguh kita tak berjumpa dan lama juga kita tak bersembang.
Begitulah kak, kehidupan ni ada pelbagai cabaran dan dugaannya. Shelly tempoh sebagai satu benteng untuk menempuh hari depan.
salam shelly
mungkin masa yang sangat pendek bersama ibu yang menyebabkan shelly terasa sedih apabla ibu pergi..
tapi bersyukurlah sekurang2nya shelly rapat dengannya sebelum dia pergi..dan sekarang selepas pemergian ibu pula, shelly semakin rapat dengan adik-adik, bergembiralah dengan hidup ini...
salam kak yati,
masa yang sedikit bersama arwah itulah yang menjadi bekal shelly sekarang. Menjadi kenangan terindah dalam hidup shelly.
Shelly bersyukur kerana shelly masih lagi sempat berbakti pada arwah semasa sakitnya. Kalau tidak dapat membasuh keseluruhan dosa shelly pada arwah memadailah andai sebesar kuman dosa shelly terampun. Itulah doa shelly siang dan malam.
Syukur adik-adik memahami tanggungjawab yang besar yang dipikul shelly. Jadi mereka semua pandai2 membawa diri. Shelly hanya memantau dan membantu jika diperlukan. Harap-harap sinar kebahagiaan keluarga shelly akan terus menyinar dan membahagiakan...
Salam Shelly...
Tumpang sedih pasal keguguran Shelly...
harap Shelly tabah dan tak putus asa...
salam che rose...
sedih memang sedih.. sebabnya shelly telah melalui keguguran ni berkali-kali dalam hidup. tapi siapalah kita menolak takdir. shelly redha dan takkan berhenti berusaha..
Post a Comment