CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Wednesday, April 29, 2009

Catatan Serawak 17/4/2009 - 20/4/2009

Saya pergi ke Serawak pada 17/4/2009 tapi baru ni saya dapat update cerita saya disana. Bukan apa, saya malas nak upload gambar-gambar kenangan semasa saya di Serawak. Tapi pagi tadi saya menerima panggilan telefon dari sahabat saya di Melaka yang selalu mengikuti blog saya meminta agar saya menceritakan pengalaman saya semasa di sana. Termasuklah dengan gambar sekali. Saya tunaikan permintaan sahabat saya itu dan inilah catatan perjalanan dan pengalaman saya semasa di Serawak khas buat sesiapa yang sudi membaca.

Saya berlepas dari Kuala Lumpur LCCT menaiki flight no AK 5214 pada pukul 5.05 petang Jumaat. Saya membawa Balqish, Adlyn, Adik saya Shela dan juga buah hatinya Amin (suami kata Amin sebagai penjaga kami semua). Inilah percutian pertama saya tanpa suami kerana suami baru sahaja pulang dari Kuching (ikut team memancing) pada hari isnin minggu yang sama. Kami sampai di Kuching Airport pada pukul 6.45 petang. Alhamdulillah perjalanan di dalam flight pun berjalan lancar terutama Balqish yang tak banyak ragam. Sampai sahaja di sana, kami telah ditunggu oleh Irna (sahabat adik saya Shela) dan mummynya. Walaupun menghadapi masalah semasa nak keluar dari airport namun saya lega kerana semuanya telah selesai. Kami dibawa ke sebuah restoran yang dipanggil Restoran Gamelan (Indonesian Authentic Restaurant)

Inilah menu kat restoran Gamelan tu. Banyak sangat sampai tak tahu nak makan yang mana dulu.


Balqish memang senang bergambar. Kalau cukup tidur cukup susu lagi lebar senyum dia.


Ini pandangan dari luar restoran masa kami semua dah selesai makan. Dekorasi dalam restoran ni sungguh cantik dan perasaan pun terbuai dengar lagu yang syahdu. Terasa macam dalam spa di Bali pulak..


Selepas makan kami semua dibawa ke rumah Irna dan mummynya. Selama kami di Serawak, kami akan tidur di rumah Irna. Siap dengan package bawa berjalan lagi. Malam itu Irna memberi kejutan kepada Amin. Kebetulan 17/4 itu adalah birthday Amin so apalagi tersipu-sipu Amin nak tiup lilin tu. Terperanjat agaknya...

Malam itu selesai sahaja membersihkan diri, kami semua apalagi terus tidur kepenatan. Sedar-sedar hari dah Subuh. Irna mempunyai perancangan untuk membawa kami ke beberapa tempat yang biasanya dikunjungi pelancong apabila ke Serawak. Selesai bersiap perjalanan diteruskan dengan menaiki kereta Hyundai Matrix mummy Irna ke Serawak Cultural Village (SCV). Ianya sebuah tempat yang kalau di semenanjung ala-ala Mini Malaysia di Melaka.


Dalam perjalanan ke SCV, kita akan dapat melihat gunung Santubung yang agak terkenal di Serawak. Apatah lagi ianya mempunyai lagendanya yang tersendiri. Saya bertanya Ir, bagaimanakah sejarah gunung Santubung tu? Nak tahu apa jawapan dari Ir.. Katanya kalau nak tahu sejarah gunung Santubung tu nyanyilah lagu Puteri Santubung yang biasa kita dengar tu.. Itulah kisahnya.. Memang la Ir ni tak leh jadi tour guide..he..he..


Sampai di SCV kami diberi penerangan serba sedikit mengenai SCV tersebut oleh staff yang menjaga entrance. Kami diberikan sebuah buku yang depannya di tulis PASSPORT setiap seorang. Passport tersebut perlulah di cop setiap kali masuk ke dalam rumah disini. Kata Ir passport tu just for fun only. Tak menjadi kesalahan pun kalau tak cop.


Setiap kali saya masuk ke dalam satu-satu rumah, Balqish akan saya tinggalkan dengan Ir. Ini kerana rumah kaum di serawak adalah tinggi-tinggi belaka. Itupun saya dah rasa bersyukur kerana disediakan laluan untuk stroller ataupun kerusi roda walaupun hanya papan sahaja. Kalau tak jenuh nak dukung Balqish.


Baru melawat 2 buah rumah iaitu rumah kaum Bidayuh dan Iban, Ir mengajak kami menonton cultural shows. Pelbagai tarian di persembahkan mengikut kaum-kaum yang terdapat di Serawak. Memang terhibur tengok show mereka cuma tempat yang agak tidak sesuai. Apa yang diberitahu kepada kami tempat sebenar yang biasanya diadakan show sedang dibaikpulih dan dibesarkan kerana menampung pelancung yang semakin ramai berkunjung. Terpaksalah kami duduk di atas lantai papan menyaksikan show tersebut. Memang best betul show tersebut..


Saya dan adik saya Shela di rumah Orang Ulu. Menariknya di dalam setiap rumah disiapkan dengan peralatan dan perkakasan yang digunakan kaum tersebut. Ada diantaranya pula siap dengan dapur dan pekerja di SCV sedang memasak kuih tradisi mengikut kaum.

Memang seronok sungguh saya dapat pergi ke SCV ni. Sekurang-kurangnya dapat juga saya mengetahui tradisi setiap kaum dan dapat pula menyaksikan show yang menghiburkan. Ada tujuh buah rumah di dalam SCV ni. Ada rumah kaum bidayuh, iban, penan, orang ulu, melanau, melayu dan chinese. Kalau saya snap semua rumah memang tak cukup kat dalam blog ni. Saya tinggalkan Serawak Cultural Village ini dengan seribu kenangan. Yang paling gembira sekali adalah Adlyn. Seronok sangat sampai rumah yang paling tinggi iaitu rumah Melanau pun di naik. Selesai di SCV, Ir membawa kami ke sebuah pasaraya besar iaitu The Spring. Sekurang-kurangnya dapatlah sejukkan badan yang berpeluh kerana berjalan jauh di SCV tadi. Dalam perjalanan tiba-tiba Adlyn berasa badannya panas. Risau saya dibuatnya. Memang panas badan Adlyn. Saya meminta Ir supaya berhenti di farmasi untuk membeli panadol.

Di parking pun sempat berposing. Tengoklah Adlyn tu. Siap bertampal dahinya untuk mengurangkan panas. Nasib Adlyn tak banyak ragam sangat.


Seperti biasa saya memang suka bergambar. Masa ni saya dan Ir sedang menunggu Amin mencuba t-shirt di fitting room. Balqish pula kalau di tempat sejuk memang tidur je. Ok juga pasaranya ni. Tempat pun selesa. Changing room dan toilet pun bersih.


Sempat lagi berposing di ruang legar The Spring. Kami tidak dibenarkan makan dimana-mana kerana mummy Ir masak di rumah. So terpaksalah tahan perut sebelum sampai di rumah.


Baru sampai di depan pintu grill rumah kami dah terbau masakan mummy. Mesti sedap sebab bau pun dah menyelerakan. Bila tengok kat meja makan dah tersedia 6 jenis lauk. Terfikir juga macammana nak habiskan semua makanan ni. Tapi bila dah start makan tak perasan dah tambah dua pinggan sebab sedap sangat. Memang di Serawak saya langsung tak dapat berdiet. Borak-borak sambil makan tak perasan sampai dah licin lauk kami gatah. Yang tinggal hanya ayam asam pedas je. Itupun dah tak larat nak masuk lagi..
Malam itu sekali lagi kami tertidur awal. Bukan kerana keletihan sebenarnya tapi kekenyangan. Yang pasti malam itu saya tidur dengan senyuman kerana masih terbayang keseronokan berada di SCV siang tadi. Harap dapat pergi lagi bersama dengan suami pula. Ir pula sedang berkira-kira mahu membawa kami kemana pula keesokkannya. Kata putus malam itu esoknya kami akan ke Sarikin pula. Tapi tidur kami malam itu diganggu dengan tangisan Adlyn. Badannya kembali panas dan mula bercakap dalam bahasa serawak. Kelam kabut juga saya. Saya terbayang kelincahan Adlyn sewaktu di SCV tadi. Mungkinkah...?

Oleh kerana telah berjanji dengan auntie Ir hendak ke Sarikin, jadi kami semua terpaksa juga pergi walaupun badan Adlyn masih lagi panas. Yang menjadi mangsa adalah Amin dan saya kerana terpaksa mendukung Adlyn secara bergilir-gilir. Sarikin ni terletak di sempadan Kalimantan, Indonesia. Jadi penjual di Sarikin rata-ratanya dr Seberang. Sarikin ni ala-ala padang besar sempadan kedah - thailand. Kebanyakkannya menjual baju, beg, pinggan mangkuk, makanan, kain ela dan pelbagai lagi.


Kesian saya tengok Adlyn. Disebabkan cuaca yang sangat panas, saya membawa Adlyn dan Balqish duduk di sebuah kedai minum di sana. Hanya Ir dan adik saya Shela sahaja yang berjalan sehingga ke hujung. Amin juga menemani saya menjaga Adlyn.


Inilah mummy Ir. Memang susah nak bergambar dengannya. Walaupun sering ke sini namun mummy masih lagi sempat membeli beberapa helai pakaian dan anak pokok.


Walaupun tak jalan sehingga ke hujung kedai namun saya sempat juga membeli beberapa helai kain termasuk kain untuk adik saya yang akan bertunang bulan Jun nanti. Begitu juga beberapa cenderahati untuk beberapa orang sahabat baik saya. Yang pasti berkotak-kotak saya membawa balik pinggan mangkuk kristal yang tersangatlah murah di sini.


Selesai di Sarikin, kami berpecah. Mummy dan auntie Jenny pulang dahulu kerana mummy perlu memasak untuk makan malam. Kami pula terus ke Jong Crocodile Park (JCP) untuk menghiburkan hati Adlyn. Dalam perjalanan ke sana, saya meminta Ir memberhentikan saya di stesen minyak Petronas kerana mahu memandikan Adlyn. Selesai mandi barulah Adlyn lega sedikit. Sempat saya bergambar dengan Balqish di JCP. Sampai je di JCP hari pun hujan. Nasib la di JCP ni disediakan laluan berbumbung. Tapi saya tetap menutup kepala Balqish takut terkena tempias air hujan.


Adlyn mungkin terlupa pada demamnya kerana terhibur melihat buaya-buaya yang sangat besar. Beberapa kali Adlyn meminta saya mengambil gambarnya. Katanya nak tunjuk kat kawan-kawan di sekolah.


Semasa saya melalui laluan ini, saya rasa macam nak menangis melihat deretan gambar yang menunjukkan kanak-kanak yang mati dimakan buaya. Lebih sedih apabila dikeluarkan dari perut buaya tersebut budak itu masih lagi sempurna hanya kakinya sahaja yang hancur. Sedih sangat.. sampai Adlyn pun takut.

Selesai di Jong Crocodile Park, perjalanan diteruskan untuk balik ke rumah. Mummy dah memasakkan sesuatu yang istimewa disamping ada lagi tetamu yang lain yang akan turut serta. Rupanya mummy Ir menjemput Mummy dan papanya (berbangsa Cina dan beragama Buddha) untuk turut serta makan bersama kami. Saya rasa kagum kerana walaupun mummy beragama Islam mereka masih mengamalkan makan bersama sehari dalam seminggu.


Inilah mummy dan papa mummy Ir. Papa mummy yang Ir panggil tok wan memang kelakar orangnya. Banyak yang tok wan tahu dan dikongsi bersama kami semua. Malam itu juga kami disajikan dengan 7 jenis makanan laut yang kesemuanya dimasak oleh mummy Ir. Semuanya sedap belaka. Harap sangat dapat jumpa dengan tok wan lagi.

Malam itu kami penuhi dengan bergelak ketawa dengan telatah tok wan. Sambil bertukar cerita tentang semenanjung. Yang kelakar tok wan tak berapa fasih berbahasa melayu jadi memang lucu la kalau tok wan bercakap dalam bahasa. Tunggang terbalik ayat yang tok wan nak cakap tu. Patutlah mummy Ir dan Ir bercakap dengan kami bahasa English. Rupanya memang semua begitu. Mula-mula sampai memang tergulung-gulung lidah nak cakap english tapi dah beberapa hari dah mula ok. Maklumlah kat sini kalau bercakap dalam english dipanggil berlagak. Tak mengagungkan bahasa sendiri. Lewat juga malam tu kami tidur. Selepas tok wan balik, kami masih lagi menonton tv dan berborak sakan. Esoknya acara bebas. Cuma Ir nak bawa gi The Spring balik. Katanya teman tapi mesra Ir yang nak belanja.


Adlyn sudah mula pulih dari demam. Itupun atas bantuan mummy Ir yang mencari daun untuk dimandikan Adlyn. Saya pun tak tahu daun apa. Masa ni kami di Kluang Station menikmati nasi lemak ayam masak merah yang sedap. Kami diperkenalkan dengan teman tapi mesra Ir iaitu Azrin (lupa nak snap gambar Azrin) Lepas ni planning nak ke main bazaar pula. Nak tengok cenderahati untuk kawan-kawan.


Main Bazaar terletak berhadapan dengan waterfront. Selesai bershopping kami singgah minum di waterfront. Berplastik-plastik jugalah yang saya beli untuk keluarga dan kawan-kawan. Yang paling banyak kek lapis serawak dan baju. Ramai juga orang semenanjung yang saya jumpa disini. Harga disini boleh ditawar mengikut jumlah barangan yang dibeli.Sedar tak sedar hari dah hampir lewat petang. Sebelum balik sempat jugalah saya berposing di tepi waterfront dengan Adlyn dan Balqish.

Balik dari Main Bazaar, kelam kabut kami menyusun barang. Mummy yang banyak membantu. Begitu juga ikan terubuk masin yang kami pesan dengan mummy dah siap tersedia dipacking. Kami menaiki 2 kereta ke Airport Kuching kerana barang yang tidak muat. Memang tak sedar dah sampai hari terakhir kami disini. Sampai di airport saya dan amin terus check in barang dulu. Kemudian saya menguruskan tiket pula. Selesai semua saya terus mendapatkan mereka di pintu masuk.


Balqish seperti faham yang kami akan meninggalkan Serawak. Dia langung tak nak tidur walaupun saya tepuk. Matanya asyik memandang Ir dan mummynya sahaja. Takpelah Qish, ada rezeki kita datang lagi.


Inilah gambar terakhir yang saya ambil hari itu. Sedih juga nak meninggalkan mummy apatah lagi mengenangkan layanan first class mummy kepada kami semua. Juga yang paling saya tak boleh lupa bagaimana mummy menjaga Adlyn semasa Adlyn demam. And last tentulah masakan mummy yang sedap. Tapi saya dapat belajar satu resepi baru dari mummy. Nanti saya updatekan di entry yang lain.



3 comments:

ain said...

teringat kembali masa akak pergi tahun 2006 dulu. memang best!

NIk Fauziah Nik Hussin said...

waaa shelly berjalan sakan lar...akak pun terhibur baca entry ni..

shelly Yusop said...

mesti kalau kak ain pergi sekarang dah banyak perubahan kan... ajaklah family ke sana tahun ni.. mesti seronok..

kak nik, itupun nasib baik adlyn demam. kalau ikut planning masih banyak lagi tempat yang tak dapat kami pergi. terpaksa skip demi adlyn. rasanya bulan jun ni pergi lagi. teman hubby memancing pulak..