CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Thursday, May 7, 2009

Terkenang Ibu di Hari Ibu..

Menjenguk ke blog kawan-kawan, semuanya sibuk bercerita tentang hari ibu yang akan disambut 10 Mei ini. Seboleh mungkin saya tidak mahu mengingatkan tarikh tersebut. Rasanya inilah tahun pertama saya tidak dapat menyambut hari ibu bersama dengan ibu saya yang tersayang. Entah bagaimanalah nanti 10 Mei 2009 ini berlalu. Semakin dekat harinya semakin sesak nafas saya. Saya tidak boleh menipu diri sendiri. Walaupun bibir saya mengatakan tidak mahu mengingati tarikh ini, namun sebagai manusia kerdil di dunia ini saya tewas dengan perasaan. Sudah beberapa hari saya tidur bertemankan airmata. Teringat semasa arwah masih ada, lagi dua tiga hari sebelum 10 Mei saya sudah sibuk mencarikah hadiah untuk diberikan kepada arwah ibu saya. Tahun lalu saya menghadiahkan ibu saya seutas jam tangan yang agak mahal juga harganya. Terbayang diruangan mata saya bagaimana gembiranya arwah menerima hadiah tersebut. Masih tersisa rasa sebak saat menerima kucupan hangat dari arwah ibu. Hangatnya ciuman itu masih terasa hingga kini. Semalam saya mengeluarkan jam tersebut dari kotak yang masih berhias cantik. Air mata saya tidak dapat ditahan. Jatuh berlinang umpama empangan pecah. Selepas arwah meninggal saya memberi adik ketiga saya memakai jam tersebut namun adik saya sendiri tidak mampu untuk melihatnya. Tinggallah jam tersebut dalam kotak cantik itu.

Oleh kerana leka melayan perasaan sedih, saya terlupa tahun ini juga adalah tahun pertama saya bergelar ibu. Kebesaran Tuhan Yang Maha Esa. Tuhan menjemput pulang ibu saya yang tercinta ke alam barzakh tapi Tuhan menghantar Qaisara Balqish sebagai penggantinya. Benar seperti kata kak Norhayati Berahim "tahun-tahun yang lalu shelly menyambut hari ibu dengan ibu, tapi tahun ni shelly menyambutnya sebagai ibu...walau ianya agak berbeza tapi sudah pasti kegembiraannya tetap sama".

Buat sahabat-sahabat yang masih ada ibu, sayangilah ibu kita sepenuh hati kerana saat-saat itulah yang paling kita rindui andai ibu dijemput Illahi. Ucapkanlah sayang dan cinta kita kepada ibu selalu kerana mungkin tak lama lagi ibu tidak dapat mendengarnya lagi walau seribu kali kita ucapkan kata sayang.

Pada yang menyambutnya sebagai ibu, Selamat Hari Ibu Untuk semua...


4 comments:

NIk Fauziah Nik Hussin said...

salam shelly..
sedih kan kita dah tkde ibu? tapi ibu ttp hidup dalam diri kita..
Akak tk pernah ucapkan selamat hari ibu untuk arwah mak sbb tk pernah pun rasa pentingnya sambutan hari ibu. Sbb akak rasa setiap hari itu hari ibu..mak mmg istimewa.
Bila mak dah tkde ni terasa ruginya tak pernah ucap selamat hari ibu untuk dia.. walaupun dlm hati ni mak sentiasa istimewa!

idasm said...

sedihnya baca coretan shelly kali ini. akak tak dpt nak bygkan satu hari nanti bila ibu sudah tiada.. tak sanggup rasanya...
shelly... bak kata kak yati... kegembiraan mungkin sama... so selamat hari ibu buat shelly yea..
take care....

Unknown said...

salam shelly
macam kaknik, kakyong pun tak pernah sambut hari ibu,.. sbb sebelum ni memang tak tahu ade hari istimewa yg khas utk ibu.. apa2 pun mak seharusnya jadi insan yg sentiasa istimewa di hati kita.. tanpa ibu takde kita di dunia ni.
pada Shelly, rindu itu adalah anugerah dari Allah, insan yg berhati nurani punyai rasa rindu..

Selamat hari ibu buat shelly & semua..

Sarnia Yahya said...

salam shelly...
tak apalah shelly... shelly pun sudah menjadi seorg ibu, kan? Ungkapkan kata2 SAYANG kpd BALQIS selalu supaya shelly akan sentiasa mendengar ungkapan SAYANG darinya untuk sehlly kelak...