CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Thursday, May 7, 2009

Terkenang Ibu di Hari Ibu..

Menjenguk ke blog kawan-kawan, semuanya sibuk bercerita tentang hari ibu yang akan disambut 10 Mei ini. Seboleh mungkin saya tidak mahu mengingatkan tarikh tersebut. Rasanya inilah tahun pertama saya tidak dapat menyambut hari ibu bersama dengan ibu saya yang tersayang. Entah bagaimanalah nanti 10 Mei 2009 ini berlalu. Semakin dekat harinya semakin sesak nafas saya. Saya tidak boleh menipu diri sendiri. Walaupun bibir saya mengatakan tidak mahu mengingati tarikh ini, namun sebagai manusia kerdil di dunia ini saya tewas dengan perasaan. Sudah beberapa hari saya tidur bertemankan airmata. Teringat semasa arwah masih ada, lagi dua tiga hari sebelum 10 Mei saya sudah sibuk mencarikah hadiah untuk diberikan kepada arwah ibu saya. Tahun lalu saya menghadiahkan ibu saya seutas jam tangan yang agak mahal juga harganya. Terbayang diruangan mata saya bagaimana gembiranya arwah menerima hadiah tersebut. Masih tersisa rasa sebak saat menerima kucupan hangat dari arwah ibu. Hangatnya ciuman itu masih terasa hingga kini. Semalam saya mengeluarkan jam tersebut dari kotak yang masih berhias cantik. Air mata saya tidak dapat ditahan. Jatuh berlinang umpama empangan pecah. Selepas arwah meninggal saya memberi adik ketiga saya memakai jam tersebut namun adik saya sendiri tidak mampu untuk melihatnya. Tinggallah jam tersebut dalam kotak cantik itu.

Oleh kerana leka melayan perasaan sedih, saya terlupa tahun ini juga adalah tahun pertama saya bergelar ibu. Kebesaran Tuhan Yang Maha Esa. Tuhan menjemput pulang ibu saya yang tercinta ke alam barzakh tapi Tuhan menghantar Qaisara Balqish sebagai penggantinya. Benar seperti kata kak Norhayati Berahim "tahun-tahun yang lalu shelly menyambut hari ibu dengan ibu, tapi tahun ni shelly menyambutnya sebagai ibu...walau ianya agak berbeza tapi sudah pasti kegembiraannya tetap sama".

Buat sahabat-sahabat yang masih ada ibu, sayangilah ibu kita sepenuh hati kerana saat-saat itulah yang paling kita rindui andai ibu dijemput Illahi. Ucapkanlah sayang dan cinta kita kepada ibu selalu kerana mungkin tak lama lagi ibu tidak dapat mendengarnya lagi walau seribu kali kita ucapkan kata sayang.

Pada yang menyambutnya sebagai ibu, Selamat Hari Ibu Untuk semua...


Wednesday, May 6, 2009

Salam Takziah Buat Seisi Keluarga Abu Zar

Semalam saya menerima berita seorang lagi sahabat persekolahan saya dijemput Tuhan. Walaupun saya tidak begitu rapat semasa di alam persekolahan namun sebagai sahabat yang mengenali arwah, saya juga turut bersimpati. Apatah lagi saya mendapat tahu arwah memiliki seorang cahayamata perempuan yang seusia anak saya Balqish. Betapa berat dugaan yang Tuhan turunkan pada isteri arwah. Disaat baru mengecapi alam rumahtangga dan bergelar seorang ibu, suami pula dipanggil Ilahi. Tapi siapa kita untuk menahan takdirnya. Sampai masa dan ketika, andai tertulis ajal sudah tiba tanpa terlewat sesaat pun roh akan meninggalkan jasad kita.

Apa yang saya tahu, arwah dikejarkan ke hospital kerana muntah darah. Setelah diperiksa doktor mengesahkan bahawa arwah menghidap kanser paru-paru. Beberapa hari terpaksa duduk di wad, sehinggalah arwah nazak pada pada pagi semalam dan terus menghembuskan nafas terakhir. Saya tidak dapat menziarahi kerana berada di luar kawasan. Apa yang mampu saya lakukan adalah sedekahkan al-fatihah buat arwah dan semoga arwah ditempatkan di kalangan mereka yang bertakwa. Buat isteri arwah, tabahlah menempuh dugaan yang Tuhan turunkan ini. Perjalanan masih jauh. Kuatkanlah semangat dan bangun semula bukan hanya untuk diri sendiri tapi untuk puterimu yang arwah amanahkan.


Monday, May 4, 2009

Amarah Yang Belum Hilang..

Entah mengapa walau sudah berhari-hari namun rasa sakit hati saya masih belum reda. Saya bukanlah seorang yang cepat marah atau gemar menyimpan dendam pada sesiapa apatah lagi pada orang yang saya anggap sahabat baik. Tapi saya tidak dapat menahan marah bila saya dikhianati oleh sahabat saya sendiri. Depan kita bukan main lagi baiknya. Belakang kita macam-macam yang difitnahnya saya. Sebelum ini saya telah beberapa kali diberi isyarat dari sahabat yang lain agar tidak terlalu baik dengan A. Tapi saya menerima A seadanya sebagai sahabat saya. Bagi saya setiap daripada kita mempunyai kelebihan dan kekurangan yang perlu kita tanggani dengan bijaksana. Persahabatan yang saya hulurkan semata-mata ikhlas dan tiada niat yang tersembunyi. Saya tidak mahu menuduh tanpa bukti yang kukuh. Tapi segala-galanya sudah terbentang di depan mata. Niat saya untuk bersemuka tidak mendapat balasan. Biarlah apa saja yang nak dikata. Asalkan saya tahu kedudukan dan berpijak di bumi yang nyata. Saya tidak marah padanya cuma saya rasa kesal yang teramat. Kesal kerana dia adalah sahabat saya sendiri. Yang saya jaga aib dan kekurangannya. Namun siapalah saya hendak menghukum dia. Biarlah dia sedar yang dia telah menyakiti hati seorang sahabat yang menyayangi dan menghargainya. Saya pula walau sukar untuk melupakan apa yang dilakukan namun saya belajar untuk memaafkan setiap perbuatannya. Pasti ada hikmah di sebaliknya.

Buat A, saya memberi peringatan. Mungkin saya bukan golongan orang yang akan berdendam pada awak tapi ketahuilah tidak selalu awak akan berjumpa orang yang seperti saya. Andai satu hari awak berjumpa orang yang akan membalas setiap perbuatan awak, ianya seperti buku bertemu ruas. Dan tidak selamanya awak akan berada di kedudukan awak sekarang. Sampai masa kaki awak akan menjejak ke bumi juga. Waktu itu awak akan tahu samaada langit itu tinggi atau rendah.