CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Wednesday, November 26, 2008

Nilai Sebuah Persahabatan..

Seperti biasa percutian saya kalau tidak bersama keluarga tentu saja bersama 2 pasangan sahabat karib saya ini. Setakat ini kami telah pergi ke beberapa destinasi percutian dalam dan luar negeri. Sayangnya semasa mereka pergi ke Europe saya tidak dapat ikut kerana waktu dan ketika itu saya dan suami masih belum menjadi suami isteri. Mungkin ada sesuatu yang istimewa dalam persahabatan kami yang menyebabkan kami menjadi begitu rapat dan satu kepala.

Pasangan ini adalah pasangan yang paling senior antara kami. Masing-masing berumur 39 tahun. Sudah mempunyai 3 hero yang aktif dan lincah. Kami menggelarkan pasangan ini Balong dan Kaklong. Antara kami semua pasangan ini yang paling pandai memasak termasuklah suaminya sekali. Suaminya bernama Nizam Bin Hailon manakala isterinya bernama Norjana Bt Adam. Saya sangat-sangat menyenangi dan menghormati mereka apatah lagi saya merupakan anak yang sulung dalam keluarga. Kadang-kala saya banyak meminta nasihat dari mereka lebih-lebih lagi mereka telah lama mendirikan rumahtangga. Saya juga sangat menyukai air tangan kedua-dua mereka. Baru-baru ini mereka membuatkan saya Pecal. Sedapnya sampai 5 kali saya tambah. Teringat kepada Pecal arwah ibu yang telah lama saya tak rasa. Kalau mungkin pecal yang mereka buat tak sesedap arwah ibu namun itu sudah cukup membuat saya rasa bahawa saya ada mereka untuk menumpang kasih...

Pasangan ini pula adalah pasangan yang selalu berbeza pendapat namun kami semua terhibur dengan usik-usik manja antara mereka. Telah mendirikan rumahtangga selama hampir 11 tahun namun masih belum dikurniakan cahayamata. Mereka tidak pernah menjadikan anak sebagai satu alasan untuk tidak bergembira. Kehidupan mereka sangat simple dan sesuai dengan kritirea yang mereka miliki. Suami bernama Hisam B Mohd Said dan isterinya bernama Razia Binti Johar. Saya pula suka berkongsi cerita mengenai perasaan yang tidak dikurniakan cahayamata dengan kak razia. Kami mengelarkan diri mereka bangah dan kakngah. Sikap suka terperanjat suaminya selalu menjadi bahan usikan antara kami. Selalunya isterinyalah yang akan menyebelahi suaminya. Kalau kami ingin berjalan atau pergi ke satu destinasi yang belum pernah kami jejaki lagi, haaa... pasangan inilah yang selalu menjadi mangsa. Biasanya mereka akan mencari informasi yang lengkap tentang destinasi tersebut termasuk booking flight, hotel dan sebagainya. Kalau takde mereka susah juga kami. Dan kelebihannya si suami ini pula pandai pelbagai bahasa jadi memudahkan kami semua berkomunikasi di negara orang. Pendek kata kalau takde pasangan ini boleh mati kutu dibuatnya...


Emmm... Saya pula... Mereka menggelarkan saya dan suami Dik Su. Suami saya pandai berjenaka dan buat lawak. Kata mereka kalau takde suami saya tentu sunyi sepi dunia. Saya selalu menjadi orang tengah kalau mereka bertikam lidah bergurau. Dan tentunya mereka sangat mendahulukan saya dan suami dalam segala hal. Kalau beratur pun diberi laluan kepada kami dahulu. Kata mereka yang tua dan tengah kena jaga yang bongsu. Seronok juga jadi yang bongsu kan?

Walau apapun saya tetap menyayangi dan menghormati mereka semua. Kerana saya tahu mereka pun mengambil berat dan menyayangi saya. Walaupun mereka bukan saudara kandung saya namun kasih sayang yang mereka tunjukkan benar-benar mengharukan saya. Kala saya berdepan dengan ujian getir kehilangan ibu, mereka banyak memberikan semangat kepada saya. Mereka sentiasa berada disisi saya saat susah dan senang. Insyaallah kala hayat di kandung badan, budi dan jasa mereka pada saya akan saya kenang. Dan diharapkan persahabatan antara kami semua akan berterusan hingga hujung nyawa. Amin...

Tuesday, November 25, 2008

Menyemai Cinta Di Kepulauan Bali..

Sewaktu saya membelek gambar-gambar yang diambil di Bali tempohari, saya amat sukakan dua keping gambar yang saya sertakan disini. Bila melihat kedua-dua gambar ini, saya rasakan satu perasaan luar biasa yang sangat istimewa menular dalam hati saya. Alhamdulillah saya berjaya menempuh cabaran onak dan duri alam perkahwinan. Biasalah rumahtangga mana yang tidak ditimpa badai. Namun saya percaya selagi ada kejujuran dalam rumahtangga selagi itulah kasih sayang kita akan berkekalan.

Cinta adalah sesuatu yang mudah kita ungkapkan namun sukar untuk kita pertahankan. Keutuhan cinta harus bermula dari pencinta itu sendiri. Saya sendiri sudah agak lama juga tidak mengucapkan perkataan cinta kepada suami. Mungkin kerana dengan kesibukan tugas di pejabat dan timbunan kerja rumah yang harus diselesaikan. Namun apabila sesekali dapat berdua-duaan begini, perasaan itu akan menjadi semakin istimewa. Seperti waktu di alam bulan madu dahulu. Masa bercinta beginilah baru kita perasan betapa cantiknya dan halusnya perasaan yang ada dalam hati kita. Perasaannya sungguh luar biasa....

Gambar ini membuat hati saya berbunga girang. Saya tahu kasih suami masih utuh buat saya dan saya mengerti betapa sayangnya saya pada perhubungan ini. Walau saya mempunyai kekurangan namun suami banyak memberi sokongan dan sentiasa berada di belakang menyokong saya. Dengan beban tugas yang semakin bertambah hari demi hari, saya pasti saya tidak akan lupa pada cinta saya yang satu ini. Cinta kepada Yang Maha Esa dan juga cinta pada semua yang ada disekeliling saya.

Sayang, andai dapat aku gambarkan sedalam mana cintaku padamu, pasti akan aku lakukan. Walau tempatmu bukan di tangga teratas, namun engkau tetap aku sayangi hingga ke akhir nanti. Percayalah kasih dan cintamu tetap dalam hatiku. Lafaz keramat ijab dan Qabul kita lima tahun yang lalu, masih segar dalam ingatanku. Aku menyayangimu.... setulus hatiku....

Monday, November 24, 2008

Gambar Kenangan Di Bali..


Saya memang suka bergambar. Kemana-mana mesti saya membawa camera bersama. Suami pula jenis yang tak berapa gemar bergambar. Jadi saya terpaksa memujuk kalau mahu bergambar sama. Gambar ni dirakamkan di atas bukit (saya tak ingat nama bukit ni) Dari atas bukit ini, kita akan nampak dua tasik berkembar. Sangat cantik dengan kabus yang agak tebal pada hari ini.


Saya tak makan durian walaupun durian dikatakan raja buah di malaysia. Walaupun seulas saya boleh demam panas yang berlarutan. Waktu ni dalam perjalanan turun dari bukit. Ternampak peniaga yang menjaja di tepi jalan. Apa lagi mereka pun bantai la melantak buah durian hampir 10 biji semuanya. Saya yang memang tak boleh bau buah durian terpaksalah duduk menonggok je kat tepi tu..

Saya dan suami di atas tebing tinggi. Deruan ombak dari laut ini sangat kuat sehingga kadangkala saya merasa ombak sudah berada di belakang saya. Walaupun begitu saya sangat senang dengan deruannya sehingga boleh terlupa pada masalah dan timbunan kerja.


Ini kira ala-ala menyemai cinta la ni... Teringat waktu berbulan madu dahulu. Tak sangka saya dah berkahwin hampir 5 tahun dan masih utuh cinta suami pada saya walaupun saya masih belum mempunyai cahayamata.


Waktu ambil gambar ni saya dalam keadaan berjaga-jaga. Ini kerana air dari ombak boleh membasahi seluar jeans yang saya pakai. Ada macam Angelina Jolie tak?

Hari Pertama Di Kepulauan Bali..

Pada 19 November 2008 yang lalu, saya dan suami serta empat orang kawan lagi telah bercuti di Bali. Ini adalah percutian pertama saya pada tahun ini. Sebenarnya hati saya berat untuk meninggalkan adik saya namun apakan daya percutian ini telah lama dirancang iaitu sebelum arwah ibu saya sakit lagi. Saya sebenarnya memang suka bercuti. Dan rakan-rakan mencadangkan saya bercuti di Kepulauan Bali. First impression saya tentang bali adalah bali adalah sebuah kepulauan yang kaya dengan kepercayaan ugama. Dimana-mana saya melihat kuil dan patung. Di Bali 90% penduduknya beragama Hindu. Penuh dengan patung-patung dan buluh-buluh yang dijuraikan dengan daun pandan.


Saya ketika dalam perjalanan ke Bali. Waktu ni saya baru bangun dari tidur. Mata pun masih bengkak lagi. Perjalanan dari LCCT ke Denpasar mengambil masa selama 3 jam. Oleh kerana tiket kami pada awal pagi jadi saya mengambil kesempatan untuk melelapkan mata sebentar di dalam pesawat.

Saya tinggal di Adi Dharma Cottage. Sampai saja di bilik, perut sudah mula berkeroncong. Apa lagi kami pun mula membuka bekal yang kami bawa untuk mengalas perut. Lapar tak lapar habis jugalah 2 buku roti gardinear yang saya beli di 7eleven di Seremban.

Saya sangat takutkan tebing yang tinggi sebegini. Tapi suami saya menyuruh saya mengambil gambar kenangan. Nak tak nak terpaksalah saya senyum walaupun saya sangat takut waktu ini. Tempat ini namanya Ulu Watu. Mempunyai tebing yang sangat tinggi. Kata tour guide saya kalau ada tsunami pun tak mungkin ombak akan naik setinggi tebing ini.

Bali memang terkenal dengan lautnya yang cantik. Sayangnya sepanjang 4 hari 3 malam di Bali saya tak sempat nak mandi laut. Ini kerana masa banyak dihabiskan didalam kenderaan. Perjalanan dari satu tempat ke tempat yang lain agak jauh. Saya dan suami sewaktu di tebing Ulu Watu.

Ini makan malam pertama kami. Sungguh romantik dengan angin sepoi2 bahasa ditambah dengan deruan ombak. Habis kasut saya masuk pasir. Duduk pun tenggelam kerusi kerana pasirnya yang sangat halus. Kami menghabiskan hampir RM 300 untuk makan malam ini.

Saturday, November 8, 2008

Majlis Tahlil Arwah Yang Ke 100 Hari

Pada 2 Oktober 2008 yang lalu, genaplah sudah 100 hari arwah ibu saya meninggalkan saya sekeluarga. Masa berjalan begitu pantas meninggalkan kita dengan seribu kenangan. Disebabkan 2hb tu jatuh pada hari Ahad jadi saya mengambil keputusan untuk membuat tahlil arwah pada 1hb bagi memudahkan saudara mara yang datang dari jauh agar tidak terburu-buru untuk pulang. Majlis tahlil arwah yang saya adakan ini bersamaan hari dengan majlis jamuan hari raya anjuran NB Kara Sdn.Bhd. Jadi tak dapatlah saya menghadirkan diri di majlis Kak Yati Berahim.Walau apapun saya doakan agar perjalanan kedua-dua majlis berjalan lancar. Majlis tahlil arwah ibu saya ini saya adakan dirumah arwah ibu saya sendiri.
Seawal pagi suami telah sibuk ke pasar manakala saya pula menguruskan keperluan rumah. Menjelang pukul 10 pagi, jiran-jiran telah mula datang untuk membantu. Mujurlah ada jiran-jiran yang sudi datang menolong. Saya rasa sangat terharu dengan kebaikan yang jiran-jiran saya tunjukkan. Mungkin berkat arwah ibu dulu yang sentiasa berbuat baik kepada semua jiran. Saya berasa sangat beruntung mempunyai jiran yang sangat prihatin dan selalu bertanya khabar saya dan adik-adik yang lain. Saya menjamu jiran saya dengan kuih lapis dan kek milo yang dibuat oleh makcik saya. Saya rasa seronok bila melihat jiran-jiran saya bergurau dan mengusik sesama sendiri sambil membantu mengupas bawang, memilih beras, menyiang ikan dan sebagainya. Terima kasih yang tak terhingga.
Menu tengahari yang saya masakkan untuk mereka yang membantu ialah ikan kembung masak lemak, sotong masak hitam, sayur goreng dan ikan masin goreng. Meriah rumah saya bila makan beramai-ramai. Lepas makan terus menyiapkan perkakas untuk bahan-bahan memasak untuk makan kendurinya pula. Kerja bila dibuat beramai-ramai tentu sekejap aje siapnya. Saya pula mengambil kesempatan mengeluarkan semua pakaian arwah ibu saya yang masih ada baki (selepas diambil sedara mara terdekat) untuk diagihkan kepada jiran tetangga pula. Waktu ini saya tak dapat menahan air mata daripada mengalir. Walau cuba ditahan namun akhirnya tumpah juga. Mujur saya ditenangkan oleh jiran yang memahami perasaan saya.
Menjelang petang sudah ada saudara mara yang datang dari Kuala Pilah. Jiran-jiran pula sudah ada yang pulang untuk bersiap dan datang semula selepas waktu isyak. Saya dan makcik saudara pula meneruskan memasak untuk dimakan pada malamnya pula. Menu malamnya pula adalah kari ayam kentang, sambal sotong, kubis dan suun kicap, tempoyak daun kayu serta ikan masin bulu ayam. Walaupun badan terasa penat namun saya puas dapat menyiapkan semua menunya sebelum waktu magrib tiba. Dapatlah saya berehat sekejap selepas penat memasak dan menyediakan peralatan lain. Nasib baiklah bakal adik-adik ipar saya datang membantu. Ringan sikitlah kerja suami saya yang ditugaskan membentang meja dan menyusun kerusi. Saudara mara yang datang pula tidak dengan tangan kosong. Ada yang datang membawa kuih tepung pelita, ada yang bawa roti telur goreng dan bermacam lagi. Murah betul rezeki...
Selepas solat isyak, rumah arwah ibu saya telah mula dipenuhi orang-orang surau. Bila semuanya telah sampai majlis dimulakan dengan bacaan yasin dan tahlil. Waktu bacaan yasin saya berasa sangat tidak selesa. Ini kerana saya tidak dapat mengikut serta dalam kumpulan tersebut kerana lampu merah (period). Saya cuba menyibukkan diri di dapur untuk mengurangkan rasa sayu dan pilu dihati. Saya tidak mahu menitiskan air mata lagi. Apabila selesai membaca doa, mereka semua menjamu selera. Oleh kerana ruang rumah arwah ibu saya yang agak terhad, saya terpaksa menjamu mereka secara buffet. Mujur segalanya berjalan seperti yang dirancang dan segala-galanya mencukupi.
Alhamdulillah... semua yang dirancang berjalan dengan baik. Lauk pauk yang mencukupi dan dapat pula memberi bekal kepada jiran-jiran terdekat. Kepada saudara mara yang datang dari jauh dan dekat, terima kasih yang tidak terhingga. Untuk jiran tetangga yang membantu, hanya tuhan saja yang dapat membalas budi kalian.
Saya bersyukur tuhan memurahkan rezeki saya untuk membuat tahlil arwah ini. Kerana dengan rezeki yang tuhan bagi ini, saya dapat mengumpulkan dan meriuhkan rumah arwah ibu saya dengan kehadiran saudara mara dan sahabat handai.Walaupun arwah ibu sudah tiada lagi, saya akan meneruskan tradisi arwah ibu yang suka menjamu orang lain makan. Saya pasti arwah ibu sedang melihat apa yang saya lakukan. Saya harap terampun dosa saya pada arwah ibu samaada yang saya sengajakan atau tidak. Kadangkala saya terdail nombor telefon arwah ibu saya apabila saya terlupa. Terlupa yang arwah ibu telah tiada. Terlupa yang saya telah kehilangan seorang ibu. Walauapapun, semuanya telah ditentukan oleh Qada dan Qadar dari tuhan. Saya yakin tuhan menguji saya mengikut tahap kemampuan saya. Alhamdulillah..walau sukar saya harungi jua dugaan ini. Buat arwah ibu, semoga ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Ya Allah Ya Tuhanku, ku pinta kepadamu pinjamlah kepadaku ketabahan yang pernah engkau berikan kepada para rasulmu, berikanlah kekuatan sekuat pahlawan seperti sahabat Rasulluallah dan lorongkanlah aku kepada syurga yang engkau janjikan kepada mereka yang taat dan tidak ingkar kepada suruhanmu... Amin..

Thursday, November 6, 2008

Rumah Baru

Inilah plan rumah baru saya. Bila dah siap nanti saya ambil pula gambar original rumah saya dan update dalam blog.

Beberapa minggu ini, saya dan suami agak sibuk menguruskan pelan untuk rumah baru saya. Bukan sengaja nak pindah tapi tuan rumah saya tak jadi menjualkan rumah yang saya duduki sekarang kepada saya. Alasannya nak bagi anak rumah tu. Macam-macam karenah. Saya memang dah sayang sangat dengan rumah sekarang ni. Lebih-lebih lagi arwah ibu saya juga meninggal dalam rumah yang saya tinggal sekarang. Rumah ini penuh dengan suka duka saya sepanjang saya berkahwin dan semasa saya menjaga arwah ibu saya yang sedang sakit.

Tapi alhamdulillah.. oleh kerana saya dah sayangkan tempat yang saya tinggal sekarang saya berjaya juga membeli sebuah rumah lain dalam kawasan yang sama. Saya dan suami memilih untuk tinggal di taman lavender height ini kerana taman ini terletak di atas bukit dan jauh dari kesibukan bandar. Jiran-jiran disini juga amat baik walaupun jarang-jarang dapat berjumpa kerana kesibukan tugas masing-masing. Dirumah saya ini nak mendengar suara budak-budak memang payah. Rata-rata keluarga disini mengamalkan taman dalam rumah. Ala-ala banglo gitu..
Insyaallah bila segalanya berjalan lancar saya akan menduduki rumah baru selewat-lewatnya awal tahun hadapan. Saya berharap semoga rumah baru saya nanti akan diceriakan oleh suara dan hilai tawa bakal anak-anak saya. Insyaallah..