Sebetulnya saya masih lagi dalam keadaan tidak percaya bahawa saya telah kehilangan ibu pada 26 Julai 2008 yang lalu. Saya tidak sangka ibu saya yang sihat dan cergas ini akan meninggalkan saya tanpa sebarang tanda. Saya masih ingat lagi pada pagi 7 Jun 2008, saya menerima panggilan telefon daripada adik saya yang berada di Seremban mengatakan ibu saya pengsan didalam bilik air. Saya yang pada ketika itu berada di Sukma Terengganu (suami menjadi team manager bagi acara badminton) bergegas pulang ke hotel dan terus balik ke seremban. Dalam perjalanan hati saya langsung tak tenteram. Tak putus-putus saya berdoa agar ibu saya selamat. Perjalanan saya rasakan terlalu perlahan (padahal suami saya bawa kereta macam pelumba F1).
Sampai di Hospital Besar Tuanku Jaafar, saya bergegas mencari adik saya di bilik kecemasan. Saya diberitahu ibu saya telah dimasukkan ke wad 6A. Melilau saya mencari ibu saya dalam wad tersebut. Melihat saja sekujur tubuh yang amat saya kenali berselirat dengan wayar di tangan saya tidak dapat menahan air mata mengalir. Saya menangis semahu hati di tepi katil sehingga ditenangkan oleh suami. Saya terpana mendengar penerangan doktor yang mengatakan ibu saya tidak mengenali orang-orang disekelilingnya. Ibu saya lumpuh sebelah badan dan otaknya langsung tidak berfungsi. Dalam erti kata lain ibu saya akan menjadi baby semula. Makan, minum, berak kecingnya perlu dijaga. Ibu terpaksa menggunakan pampers dan tiub bagi menyalurkan makanan ke perut. Saya lihat waktu itu ibu betul-betul lemah. Tak sanggup saya melihat ibu dalam keadaan begitu. Ya Allah Ya Tuhanku, mengapa seberat ini dugaan yang engkau berikan padaku....
Sejak dari tarikh tersebut, kehidupan saya satu keluarga terus berubah. Sebagai anak yang sulung, saya terpaksa mengambil tempat ibu menjaga ketiga-tiga adik saya. Waktu itu hospital menjadi rumah pertama bagi saya. Seawal pagi saya sudah sampai untuk membersihkan ibu dan menukar kelengkapan dan pakaian yang dipakainya. Mula-mula saya mudah berasa putus asa kerana ibu langsung tidak memberikan respon kepada saya (ibu juga tidak boleh bercakap). Lama-kelamaan saya lihat ibu semakin mudah diurus dan mudah memberi kerjasama. Walaupun tidak bercakap namun ibu sering tersenyum setiap kali selepas siap saya mengelap badannya. Mungkin ibu merasa selesa ataupun ibu mengucapkan terima kasih. Saya masih ingat senyumannya sehingga ke hari ini.
Bila bercerita tentang kerinduan, saya seringkali menangis. Saya rindu atas setiap apa yang pernah saya lakukan bersama-sama ibu. Lebih-lebih lagi sekarang bulan ramadhan. Saya rindukan air tangan ibu yang saban hari memasak untuk kami sekeluarga. Rindukan keriuhan setiap kali kami bersahur (ibu saya suka bercakap). Nampaknya tahun ini bermulalah kehidupan saya tanpa ibu... Ibu yang sangat saya sayangi dan saya hormati...
Ibu, andai ibu tahu... kaklong sentiasa merindukan ibu. Rindu pada celoteh ibu, pada keriuhan ibu, air tangan ibu dan juga jahitan halus ibu. Mengapa Tuhan mengambil ibu terlalu cepat? Saya belum puas merasa kasih sayang ibu. Saya masih memerlukan belaian ibu... Ya Allah, kau ampunkanlah segala dosa yang pernah ibu lakukan. Tempatkan rohnya dikalangan orang-orang mu yang beriman...Amin... Al-Fatihah...
0 comments:
Post a Comment