CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Monday, September 29, 2008

Puisi Cinta Buat Suami..

Mengingati lembaran semalam
Membuat aku tersenyum
Kadangkala aku menangis
Kerana terlalu banyak perhitungan
Yang terpaksa aku hitungkan
Namun...
Kasih antara kita
Tetap utuh bersama cinta
Yang terlafaz pada detik keramat
Lima tahun yang lalu
Seakan mengeri
Cintaku dihalangi
Lantas aku pergi.... membawa diri
Dengan doa dan harapan
Agar kau bahagia bersama dengan
Impian dan cita-citamu
Entah mengapa
Kali ini tidak mampu melupakan
Segala-galanya...
Lalu....Jadilah aku seorang perindu
Walaupun diri ini jauh diperantauan
Engkau tetap abadi dalam ingatan
Detik berlalu tanpaku sedar
Mengikat kembali kasih sayang kita
Yang sememangnya mekar
Dalam hati...
Walau seribu dugaan mendatang
Aku pasrah... tidak mahu tertewas lagi
Dengan percikan tohmahan
Lantas... tanpa menoleh
Aku nekad mengakhiri
Tanggal 29 Jun 2003
Sah sudah aku disunting
Menjadi tunangan
Kepada orang yang amat kusayang
Kini...
Kenangan pilu itu kian lupus
Membawa sinar harapan baru
Semaoga percaturan ku tidak tersilap
Kerana dengan lahirnya kad ini
Menjadi bukti
Bahawa kasih kita
Impian yang menjadi realiti
Sambutlah...
Kehadiranku sebagai isterimu
Kerana sesungguhnya
Aku telah lama mengimpikan
Kehadiranmu
Sebagai suami mithali yang abadi
P/S : Puisi ini saya kirimkan kepada suami saya pada hari pernikahan saya. Berhari-hari saya mengambil masa mencipta puisi ini. Alhamdulillah suami saya amat menyukai puisi saya ini. Kini saya menyimpan puisi ini sebagai satu kenangan hadiah kepada suami saya.

Kerinduan Pada Arwah Ibuku...

Arwah Ibuku..

Sebetulnya saya masih lagi dalam keadaan tidak percaya bahawa saya telah kehilangan ibu pada 26 Julai 2008 yang lalu. Saya tidak sangka ibu saya yang sihat dan cergas ini akan meninggalkan saya tanpa sebarang tanda. Saya masih ingat lagi pada pagi 7 Jun 2008, saya menerima panggilan telefon daripada adik saya yang berada di Seremban mengatakan ibu saya pengsan didalam bilik air. Saya yang pada ketika itu berada di Sukma Terengganu (suami menjadi team manager bagi acara badminton) bergegas pulang ke hotel dan terus balik ke seremban. Dalam perjalanan hati saya langsung tak tenteram. Tak putus-putus saya berdoa agar ibu saya selamat. Perjalanan saya rasakan terlalu perlahan (padahal suami saya bawa kereta macam pelumba F1).
Sampai di Hospital Besar Tuanku Jaafar, saya bergegas mencari adik saya di bilik kecemasan. Saya diberitahu ibu saya telah dimasukkan ke wad 6A. Melilau saya mencari ibu saya dalam wad tersebut. Melihat saja sekujur tubuh yang amat saya kenali berselirat dengan wayar di tangan saya tidak dapat menahan air mata mengalir. Saya menangis semahu hati di tepi katil sehingga ditenangkan oleh suami. Saya terpana mendengar penerangan doktor yang mengatakan ibu saya tidak mengenali orang-orang disekelilingnya. Ibu saya lumpuh sebelah badan dan otaknya langsung tidak berfungsi. Dalam erti kata lain ibu saya akan menjadi baby semula. Makan, minum, berak kecingnya perlu dijaga. Ibu terpaksa menggunakan pampers dan tiub bagi menyalurkan makanan ke perut. Saya lihat waktu itu ibu betul-betul lemah. Tak sanggup saya melihat ibu dalam keadaan begitu. Ya Allah Ya Tuhanku, mengapa seberat ini dugaan yang engkau berikan padaku....
Sejak dari tarikh tersebut, kehidupan saya satu keluarga terus berubah. Sebagai anak yang sulung, saya terpaksa mengambil tempat ibu menjaga ketiga-tiga adik saya. Waktu itu hospital menjadi rumah pertama bagi saya. Seawal pagi saya sudah sampai untuk membersihkan ibu dan menukar kelengkapan dan pakaian yang dipakainya. Mula-mula saya mudah berasa putus asa kerana ibu langsung tidak memberikan respon kepada saya (ibu juga tidak boleh bercakap). Lama-kelamaan saya lihat ibu semakin mudah diurus dan mudah memberi kerjasama. Walaupun tidak bercakap namun ibu sering tersenyum setiap kali selepas siap saya mengelap badannya. Mungkin ibu merasa selesa ataupun ibu mengucapkan terima kasih. Saya masih ingat senyumannya sehingga ke hari ini.
Bila bercerita tentang kerinduan, saya seringkali menangis. Saya rindu atas setiap apa yang pernah saya lakukan bersama-sama ibu. Lebih-lebih lagi sekarang bulan ramadhan. Saya rindukan air tangan ibu yang saban hari memasak untuk kami sekeluarga. Rindukan keriuhan setiap kali kami bersahur (ibu saya suka bercakap). Nampaknya tahun ini bermulalah kehidupan saya tanpa ibu... Ibu yang sangat saya sayangi dan saya hormati...
Ibu, andai ibu tahu... kaklong sentiasa merindukan ibu. Rindu pada celoteh ibu, pada keriuhan ibu, air tangan ibu dan juga jahitan halus ibu. Mengapa Tuhan mengambil ibu terlalu cepat? Saya belum puas merasa kasih sayang ibu. Saya masih memerlukan belaian ibu... Ya Allah, kau ampunkanlah segala dosa yang pernah ibu lakukan. Tempatkan rohnya dikalangan orang-orang mu yang beriman...Amin... Al-Fatihah...

Permulaan...

Satu ketika dulu saya pernah mempunyai blog sendiri. Namun atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan saya terpaksa delete blog tersebut. Sekarang saya membuka blog yang baru. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan hanya kerana cinta saya pada bidang penulisan. Saya menulis sekadar suka-suka sahaja. Saya tidak pernah publish ke mana-mana pun.
Sekarang saya membuka diari saya semula. Saya lebih selesa menaip dari menulis berjela-jela didalam buku diari. Ada banyak perkara yang saya ingin coretkan disini. Lebih-lebih lagi sekarang saya mempunyai kelebihan sedikit dari segi masa (sebelum ini saya menjaga ibu saya yang sakit). Sekarang ibu saya telah meninggal dunia. Saya perlu sesuatu atau seseorang yang boleh saya melepaskan perasaan. Dari saya berusia 9 tahun saya telah pandai menulis didalam diari. Kini dengan teknologi yang semakin canggih, saya tidak perlu membawa buku diari di dalam beg tangan saya (padahal saya bukan pandai teknologi sangat pun).
Percaya atau tidak jika saya katakan bahawa saya baru membeli sebuah laptop hanya beberapa bulan yang lalu. Sebelum ini saya hanya menulis di dalam blog jika saya ada masa free sewaktu di pejabat saja. Saya tidak pernah menulis dalam blog sewaktu saya berada dirumah. Cuma baru-baru ini apabila tiba hari lahir saya, saya membuat permintaan kecil pada suami saya. Saya mahukan sebuah laptop yang saya boleh ekspresikan perasaan saya dimana-mana saja. Kini segalanya berada di depan mata. Alhamdulillah..
Saya berharap saya akan terus rajin menulis untuk mengasah minda saya. Bagi saya menulis itu sesuatu yang indah sekiranya kita tahu dimana kunci keindahan itu berada. Dengan beg sandang yang berat dibahu saya (beg laptop), mustahil saya akan lupa menulis tentang sesuatu yang berlaku pada hari itu. Saya percaya setiap kejadian yang berlaku dalam dunia ini adalah percaturan hidup yang Tuhan tentukan dalam hidup kita...