CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Thursday, May 7, 2009

Terkenang Ibu di Hari Ibu..

Menjenguk ke blog kawan-kawan, semuanya sibuk bercerita tentang hari ibu yang akan disambut 10 Mei ini. Seboleh mungkin saya tidak mahu mengingatkan tarikh tersebut. Rasanya inilah tahun pertama saya tidak dapat menyambut hari ibu bersama dengan ibu saya yang tersayang. Entah bagaimanalah nanti 10 Mei 2009 ini berlalu. Semakin dekat harinya semakin sesak nafas saya. Saya tidak boleh menipu diri sendiri. Walaupun bibir saya mengatakan tidak mahu mengingati tarikh ini, namun sebagai manusia kerdil di dunia ini saya tewas dengan perasaan. Sudah beberapa hari saya tidur bertemankan airmata. Teringat semasa arwah masih ada, lagi dua tiga hari sebelum 10 Mei saya sudah sibuk mencarikah hadiah untuk diberikan kepada arwah ibu saya. Tahun lalu saya menghadiahkan ibu saya seutas jam tangan yang agak mahal juga harganya. Terbayang diruangan mata saya bagaimana gembiranya arwah menerima hadiah tersebut. Masih tersisa rasa sebak saat menerima kucupan hangat dari arwah ibu. Hangatnya ciuman itu masih terasa hingga kini. Semalam saya mengeluarkan jam tersebut dari kotak yang masih berhias cantik. Air mata saya tidak dapat ditahan. Jatuh berlinang umpama empangan pecah. Selepas arwah meninggal saya memberi adik ketiga saya memakai jam tersebut namun adik saya sendiri tidak mampu untuk melihatnya. Tinggallah jam tersebut dalam kotak cantik itu.

Oleh kerana leka melayan perasaan sedih, saya terlupa tahun ini juga adalah tahun pertama saya bergelar ibu. Kebesaran Tuhan Yang Maha Esa. Tuhan menjemput pulang ibu saya yang tercinta ke alam barzakh tapi Tuhan menghantar Qaisara Balqish sebagai penggantinya. Benar seperti kata kak Norhayati Berahim "tahun-tahun yang lalu shelly menyambut hari ibu dengan ibu, tapi tahun ni shelly menyambutnya sebagai ibu...walau ianya agak berbeza tapi sudah pasti kegembiraannya tetap sama".

Buat sahabat-sahabat yang masih ada ibu, sayangilah ibu kita sepenuh hati kerana saat-saat itulah yang paling kita rindui andai ibu dijemput Illahi. Ucapkanlah sayang dan cinta kita kepada ibu selalu kerana mungkin tak lama lagi ibu tidak dapat mendengarnya lagi walau seribu kali kita ucapkan kata sayang.

Pada yang menyambutnya sebagai ibu, Selamat Hari Ibu Untuk semua...


Wednesday, May 6, 2009

Salam Takziah Buat Seisi Keluarga Abu Zar

Semalam saya menerima berita seorang lagi sahabat persekolahan saya dijemput Tuhan. Walaupun saya tidak begitu rapat semasa di alam persekolahan namun sebagai sahabat yang mengenali arwah, saya juga turut bersimpati. Apatah lagi saya mendapat tahu arwah memiliki seorang cahayamata perempuan yang seusia anak saya Balqish. Betapa berat dugaan yang Tuhan turunkan pada isteri arwah. Disaat baru mengecapi alam rumahtangga dan bergelar seorang ibu, suami pula dipanggil Ilahi. Tapi siapa kita untuk menahan takdirnya. Sampai masa dan ketika, andai tertulis ajal sudah tiba tanpa terlewat sesaat pun roh akan meninggalkan jasad kita.

Apa yang saya tahu, arwah dikejarkan ke hospital kerana muntah darah. Setelah diperiksa doktor mengesahkan bahawa arwah menghidap kanser paru-paru. Beberapa hari terpaksa duduk di wad, sehinggalah arwah nazak pada pada pagi semalam dan terus menghembuskan nafas terakhir. Saya tidak dapat menziarahi kerana berada di luar kawasan. Apa yang mampu saya lakukan adalah sedekahkan al-fatihah buat arwah dan semoga arwah ditempatkan di kalangan mereka yang bertakwa. Buat isteri arwah, tabahlah menempuh dugaan yang Tuhan turunkan ini. Perjalanan masih jauh. Kuatkanlah semangat dan bangun semula bukan hanya untuk diri sendiri tapi untuk puterimu yang arwah amanahkan.


Monday, May 4, 2009

Amarah Yang Belum Hilang..

Entah mengapa walau sudah berhari-hari namun rasa sakit hati saya masih belum reda. Saya bukanlah seorang yang cepat marah atau gemar menyimpan dendam pada sesiapa apatah lagi pada orang yang saya anggap sahabat baik. Tapi saya tidak dapat menahan marah bila saya dikhianati oleh sahabat saya sendiri. Depan kita bukan main lagi baiknya. Belakang kita macam-macam yang difitnahnya saya. Sebelum ini saya telah beberapa kali diberi isyarat dari sahabat yang lain agar tidak terlalu baik dengan A. Tapi saya menerima A seadanya sebagai sahabat saya. Bagi saya setiap daripada kita mempunyai kelebihan dan kekurangan yang perlu kita tanggani dengan bijaksana. Persahabatan yang saya hulurkan semata-mata ikhlas dan tiada niat yang tersembunyi. Saya tidak mahu menuduh tanpa bukti yang kukuh. Tapi segala-galanya sudah terbentang di depan mata. Niat saya untuk bersemuka tidak mendapat balasan. Biarlah apa saja yang nak dikata. Asalkan saya tahu kedudukan dan berpijak di bumi yang nyata. Saya tidak marah padanya cuma saya rasa kesal yang teramat. Kesal kerana dia adalah sahabat saya sendiri. Yang saya jaga aib dan kekurangannya. Namun siapalah saya hendak menghukum dia. Biarlah dia sedar yang dia telah menyakiti hati seorang sahabat yang menyayangi dan menghargainya. Saya pula walau sukar untuk melupakan apa yang dilakukan namun saya belajar untuk memaafkan setiap perbuatannya. Pasti ada hikmah di sebaliknya.

Buat A, saya memberi peringatan. Mungkin saya bukan golongan orang yang akan berdendam pada awak tapi ketahuilah tidak selalu awak akan berjumpa orang yang seperti saya. Andai satu hari awak berjumpa orang yang akan membalas setiap perbuatan awak, ianya seperti buku bertemu ruas. Dan tidak selamanya awak akan berada di kedudukan awak sekarang. Sampai masa kaki awak akan menjejak ke bumi juga. Waktu itu awak akan tahu samaada langit itu tinggi atau rendah.



Thursday, April 30, 2009

Menu Dari Serawak.. Umai..

Inilah satu-satunya menu yang sempat saya pelajari semasa di Serawak. Pada mulanya umai ni macam tak dapat diterima oleh tekak saya. Tapi semakin dimakan semakin sedap. Yang uniknya umai ni tak payah nak goreng ke, rebus ke atau kukus. Umai dimakan mentah sahaja.

Mengikut kata mummy Ir yang mengajar saya buat umai ni, kita boleh pilih ikan mengikut citarasa kita sendiri. Biasannya di serawak kebanyakkannya menggunakan ikan pirang. Tapi disebabkan ikan pirang tu sudah kehabisan stok mummy menggunakan ikan senangin.


Ikan tu kita lapah dan buang tulang di tengahnya. Kalau ada sikit-sikit tulang yang kecil-kecil tu takpe. Yang penting pisau mesti kena tajam untuk memudahkan kita melapah ikan tersebut. Kepala dan isi dalam perut ikan pun kena buang. Tinggalkan bahagian badan sahaja.

Lepas dah lapah kita basuh isi ikan tu bersih-bersih dan hiris halus-halus. Lagi halus lagi sedap. Kalau masa hiris ikan tu nampak tulang, buanglah sekali tulang tu agar takde sesiapa yang tercekik.

Hiris limau lepas tu perahkan airnya kemudian gaul rata. Biarkan sekejap. Sambil tu tumbuk bawang merah, bawang putih dan cili besar. Kemudian campur terus kat ikan yang sudah digaulkan dengan perahan limau. Jangan lupa letak garam dan sedikit ajinamoto (kalau taknak pun takpe). Cili tu pun kalau nak pedas tambah la ikut kesesuaian kita sendiri.


Inilah hasilnya menu dari Serawak yang dipanggil Umai atau kadang-kadang mummy panggil local sushi. Kalau dibiarkan dalam peti ais boleh tahan berhari-hari. Makan sejuk-sejuk pun sedap juga. Selamat Mencuba..



Wednesday, April 29, 2009

Catatan Serawak 17/4/2009 - 20/4/2009

Saya pergi ke Serawak pada 17/4/2009 tapi baru ni saya dapat update cerita saya disana. Bukan apa, saya malas nak upload gambar-gambar kenangan semasa saya di Serawak. Tapi pagi tadi saya menerima panggilan telefon dari sahabat saya di Melaka yang selalu mengikuti blog saya meminta agar saya menceritakan pengalaman saya semasa di sana. Termasuklah dengan gambar sekali. Saya tunaikan permintaan sahabat saya itu dan inilah catatan perjalanan dan pengalaman saya semasa di Serawak khas buat sesiapa yang sudi membaca.

Saya berlepas dari Kuala Lumpur LCCT menaiki flight no AK 5214 pada pukul 5.05 petang Jumaat. Saya membawa Balqish, Adlyn, Adik saya Shela dan juga buah hatinya Amin (suami kata Amin sebagai penjaga kami semua). Inilah percutian pertama saya tanpa suami kerana suami baru sahaja pulang dari Kuching (ikut team memancing) pada hari isnin minggu yang sama. Kami sampai di Kuching Airport pada pukul 6.45 petang. Alhamdulillah perjalanan di dalam flight pun berjalan lancar terutama Balqish yang tak banyak ragam. Sampai sahaja di sana, kami telah ditunggu oleh Irna (sahabat adik saya Shela) dan mummynya. Walaupun menghadapi masalah semasa nak keluar dari airport namun saya lega kerana semuanya telah selesai. Kami dibawa ke sebuah restoran yang dipanggil Restoran Gamelan (Indonesian Authentic Restaurant)

Inilah menu kat restoran Gamelan tu. Banyak sangat sampai tak tahu nak makan yang mana dulu.


Balqish memang senang bergambar. Kalau cukup tidur cukup susu lagi lebar senyum dia.


Ini pandangan dari luar restoran masa kami semua dah selesai makan. Dekorasi dalam restoran ni sungguh cantik dan perasaan pun terbuai dengar lagu yang syahdu. Terasa macam dalam spa di Bali pulak..


Selepas makan kami semua dibawa ke rumah Irna dan mummynya. Selama kami di Serawak, kami akan tidur di rumah Irna. Siap dengan package bawa berjalan lagi. Malam itu Irna memberi kejutan kepada Amin. Kebetulan 17/4 itu adalah birthday Amin so apalagi tersipu-sipu Amin nak tiup lilin tu. Terperanjat agaknya...

Malam itu selesai sahaja membersihkan diri, kami semua apalagi terus tidur kepenatan. Sedar-sedar hari dah Subuh. Irna mempunyai perancangan untuk membawa kami ke beberapa tempat yang biasanya dikunjungi pelancong apabila ke Serawak. Selesai bersiap perjalanan diteruskan dengan menaiki kereta Hyundai Matrix mummy Irna ke Serawak Cultural Village (SCV). Ianya sebuah tempat yang kalau di semenanjung ala-ala Mini Malaysia di Melaka.


Dalam perjalanan ke SCV, kita akan dapat melihat gunung Santubung yang agak terkenal di Serawak. Apatah lagi ianya mempunyai lagendanya yang tersendiri. Saya bertanya Ir, bagaimanakah sejarah gunung Santubung tu? Nak tahu apa jawapan dari Ir.. Katanya kalau nak tahu sejarah gunung Santubung tu nyanyilah lagu Puteri Santubung yang biasa kita dengar tu.. Itulah kisahnya.. Memang la Ir ni tak leh jadi tour guide..he..he..


Sampai di SCV kami diberi penerangan serba sedikit mengenai SCV tersebut oleh staff yang menjaga entrance. Kami diberikan sebuah buku yang depannya di tulis PASSPORT setiap seorang. Passport tersebut perlulah di cop setiap kali masuk ke dalam rumah disini. Kata Ir passport tu just for fun only. Tak menjadi kesalahan pun kalau tak cop.


Setiap kali saya masuk ke dalam satu-satu rumah, Balqish akan saya tinggalkan dengan Ir. Ini kerana rumah kaum di serawak adalah tinggi-tinggi belaka. Itupun saya dah rasa bersyukur kerana disediakan laluan untuk stroller ataupun kerusi roda walaupun hanya papan sahaja. Kalau tak jenuh nak dukung Balqish.


Baru melawat 2 buah rumah iaitu rumah kaum Bidayuh dan Iban, Ir mengajak kami menonton cultural shows. Pelbagai tarian di persembahkan mengikut kaum-kaum yang terdapat di Serawak. Memang terhibur tengok show mereka cuma tempat yang agak tidak sesuai. Apa yang diberitahu kepada kami tempat sebenar yang biasanya diadakan show sedang dibaikpulih dan dibesarkan kerana menampung pelancung yang semakin ramai berkunjung. Terpaksalah kami duduk di atas lantai papan menyaksikan show tersebut. Memang best betul show tersebut..


Saya dan adik saya Shela di rumah Orang Ulu. Menariknya di dalam setiap rumah disiapkan dengan peralatan dan perkakasan yang digunakan kaum tersebut. Ada diantaranya pula siap dengan dapur dan pekerja di SCV sedang memasak kuih tradisi mengikut kaum.

Memang seronok sungguh saya dapat pergi ke SCV ni. Sekurang-kurangnya dapat juga saya mengetahui tradisi setiap kaum dan dapat pula menyaksikan show yang menghiburkan. Ada tujuh buah rumah di dalam SCV ni. Ada rumah kaum bidayuh, iban, penan, orang ulu, melanau, melayu dan chinese. Kalau saya snap semua rumah memang tak cukup kat dalam blog ni. Saya tinggalkan Serawak Cultural Village ini dengan seribu kenangan. Yang paling gembira sekali adalah Adlyn. Seronok sangat sampai rumah yang paling tinggi iaitu rumah Melanau pun di naik. Selesai di SCV, Ir membawa kami ke sebuah pasaraya besar iaitu The Spring. Sekurang-kurangnya dapatlah sejukkan badan yang berpeluh kerana berjalan jauh di SCV tadi. Dalam perjalanan tiba-tiba Adlyn berasa badannya panas. Risau saya dibuatnya. Memang panas badan Adlyn. Saya meminta Ir supaya berhenti di farmasi untuk membeli panadol.

Di parking pun sempat berposing. Tengoklah Adlyn tu. Siap bertampal dahinya untuk mengurangkan panas. Nasib Adlyn tak banyak ragam sangat.


Seperti biasa saya memang suka bergambar. Masa ni saya dan Ir sedang menunggu Amin mencuba t-shirt di fitting room. Balqish pula kalau di tempat sejuk memang tidur je. Ok juga pasaranya ni. Tempat pun selesa. Changing room dan toilet pun bersih.


Sempat lagi berposing di ruang legar The Spring. Kami tidak dibenarkan makan dimana-mana kerana mummy Ir masak di rumah. So terpaksalah tahan perut sebelum sampai di rumah.


Baru sampai di depan pintu grill rumah kami dah terbau masakan mummy. Mesti sedap sebab bau pun dah menyelerakan. Bila tengok kat meja makan dah tersedia 6 jenis lauk. Terfikir juga macammana nak habiskan semua makanan ni. Tapi bila dah start makan tak perasan dah tambah dua pinggan sebab sedap sangat. Memang di Serawak saya langsung tak dapat berdiet. Borak-borak sambil makan tak perasan sampai dah licin lauk kami gatah. Yang tinggal hanya ayam asam pedas je. Itupun dah tak larat nak masuk lagi..
Malam itu sekali lagi kami tertidur awal. Bukan kerana keletihan sebenarnya tapi kekenyangan. Yang pasti malam itu saya tidur dengan senyuman kerana masih terbayang keseronokan berada di SCV siang tadi. Harap dapat pergi lagi bersama dengan suami pula. Ir pula sedang berkira-kira mahu membawa kami kemana pula keesokkannya. Kata putus malam itu esoknya kami akan ke Sarikin pula. Tapi tidur kami malam itu diganggu dengan tangisan Adlyn. Badannya kembali panas dan mula bercakap dalam bahasa serawak. Kelam kabut juga saya. Saya terbayang kelincahan Adlyn sewaktu di SCV tadi. Mungkinkah...?

Oleh kerana telah berjanji dengan auntie Ir hendak ke Sarikin, jadi kami semua terpaksa juga pergi walaupun badan Adlyn masih lagi panas. Yang menjadi mangsa adalah Amin dan saya kerana terpaksa mendukung Adlyn secara bergilir-gilir. Sarikin ni terletak di sempadan Kalimantan, Indonesia. Jadi penjual di Sarikin rata-ratanya dr Seberang. Sarikin ni ala-ala padang besar sempadan kedah - thailand. Kebanyakkannya menjual baju, beg, pinggan mangkuk, makanan, kain ela dan pelbagai lagi.


Kesian saya tengok Adlyn. Disebabkan cuaca yang sangat panas, saya membawa Adlyn dan Balqish duduk di sebuah kedai minum di sana. Hanya Ir dan adik saya Shela sahaja yang berjalan sehingga ke hujung. Amin juga menemani saya menjaga Adlyn.


Inilah mummy Ir. Memang susah nak bergambar dengannya. Walaupun sering ke sini namun mummy masih lagi sempat membeli beberapa helai pakaian dan anak pokok.


Walaupun tak jalan sehingga ke hujung kedai namun saya sempat juga membeli beberapa helai kain termasuk kain untuk adik saya yang akan bertunang bulan Jun nanti. Begitu juga beberapa cenderahati untuk beberapa orang sahabat baik saya. Yang pasti berkotak-kotak saya membawa balik pinggan mangkuk kristal yang tersangatlah murah di sini.


Selesai di Sarikin, kami berpecah. Mummy dan auntie Jenny pulang dahulu kerana mummy perlu memasak untuk makan malam. Kami pula terus ke Jong Crocodile Park (JCP) untuk menghiburkan hati Adlyn. Dalam perjalanan ke sana, saya meminta Ir memberhentikan saya di stesen minyak Petronas kerana mahu memandikan Adlyn. Selesai mandi barulah Adlyn lega sedikit. Sempat saya bergambar dengan Balqish di JCP. Sampai je di JCP hari pun hujan. Nasib la di JCP ni disediakan laluan berbumbung. Tapi saya tetap menutup kepala Balqish takut terkena tempias air hujan.


Adlyn mungkin terlupa pada demamnya kerana terhibur melihat buaya-buaya yang sangat besar. Beberapa kali Adlyn meminta saya mengambil gambarnya. Katanya nak tunjuk kat kawan-kawan di sekolah.


Semasa saya melalui laluan ini, saya rasa macam nak menangis melihat deretan gambar yang menunjukkan kanak-kanak yang mati dimakan buaya. Lebih sedih apabila dikeluarkan dari perut buaya tersebut budak itu masih lagi sempurna hanya kakinya sahaja yang hancur. Sedih sangat.. sampai Adlyn pun takut.

Selesai di Jong Crocodile Park, perjalanan diteruskan untuk balik ke rumah. Mummy dah memasakkan sesuatu yang istimewa disamping ada lagi tetamu yang lain yang akan turut serta. Rupanya mummy Ir menjemput Mummy dan papanya (berbangsa Cina dan beragama Buddha) untuk turut serta makan bersama kami. Saya rasa kagum kerana walaupun mummy beragama Islam mereka masih mengamalkan makan bersama sehari dalam seminggu.


Inilah mummy dan papa mummy Ir. Papa mummy yang Ir panggil tok wan memang kelakar orangnya. Banyak yang tok wan tahu dan dikongsi bersama kami semua. Malam itu juga kami disajikan dengan 7 jenis makanan laut yang kesemuanya dimasak oleh mummy Ir. Semuanya sedap belaka. Harap sangat dapat jumpa dengan tok wan lagi.

Malam itu kami penuhi dengan bergelak ketawa dengan telatah tok wan. Sambil bertukar cerita tentang semenanjung. Yang kelakar tok wan tak berapa fasih berbahasa melayu jadi memang lucu la kalau tok wan bercakap dalam bahasa. Tunggang terbalik ayat yang tok wan nak cakap tu. Patutlah mummy Ir dan Ir bercakap dengan kami bahasa English. Rupanya memang semua begitu. Mula-mula sampai memang tergulung-gulung lidah nak cakap english tapi dah beberapa hari dah mula ok. Maklumlah kat sini kalau bercakap dalam english dipanggil berlagak. Tak mengagungkan bahasa sendiri. Lewat juga malam tu kami tidur. Selepas tok wan balik, kami masih lagi menonton tv dan berborak sakan. Esoknya acara bebas. Cuma Ir nak bawa gi The Spring balik. Katanya teman tapi mesra Ir yang nak belanja.


Adlyn sudah mula pulih dari demam. Itupun atas bantuan mummy Ir yang mencari daun untuk dimandikan Adlyn. Saya pun tak tahu daun apa. Masa ni kami di Kluang Station menikmati nasi lemak ayam masak merah yang sedap. Kami diperkenalkan dengan teman tapi mesra Ir iaitu Azrin (lupa nak snap gambar Azrin) Lepas ni planning nak ke main bazaar pula. Nak tengok cenderahati untuk kawan-kawan.


Main Bazaar terletak berhadapan dengan waterfront. Selesai bershopping kami singgah minum di waterfront. Berplastik-plastik jugalah yang saya beli untuk keluarga dan kawan-kawan. Yang paling banyak kek lapis serawak dan baju. Ramai juga orang semenanjung yang saya jumpa disini. Harga disini boleh ditawar mengikut jumlah barangan yang dibeli.Sedar tak sedar hari dah hampir lewat petang. Sebelum balik sempat jugalah saya berposing di tepi waterfront dengan Adlyn dan Balqish.

Balik dari Main Bazaar, kelam kabut kami menyusun barang. Mummy yang banyak membantu. Begitu juga ikan terubuk masin yang kami pesan dengan mummy dah siap tersedia dipacking. Kami menaiki 2 kereta ke Airport Kuching kerana barang yang tidak muat. Memang tak sedar dah sampai hari terakhir kami disini. Sampai di airport saya dan amin terus check in barang dulu. Kemudian saya menguruskan tiket pula. Selesai semua saya terus mendapatkan mereka di pintu masuk.


Balqish seperti faham yang kami akan meninggalkan Serawak. Dia langung tak nak tidur walaupun saya tepuk. Matanya asyik memandang Ir dan mummynya sahaja. Takpelah Qish, ada rezeki kita datang lagi.


Inilah gambar terakhir yang saya ambil hari itu. Sedih juga nak meninggalkan mummy apatah lagi mengenangkan layanan first class mummy kepada kami semua. Juga yang paling saya tak boleh lupa bagaimana mummy menjaga Adlyn semasa Adlyn demam. And last tentulah masakan mummy yang sedap. Tapi saya dapat belajar satu resepi baru dari mummy. Nanti saya updatekan di entry yang lain.



Tuesday, April 28, 2009

Kemana Menghilang Pakcik Adam....?

Kenangan sewaktu saya bercuti bersama sahabat karib saya kak razia(berbaju biru ) & kak jana ( berbaju coklat ) di Phuket, Thailand 2008

Semalam hampir jam 7 petang baru saya sampai ke rumah. Agenda utama adalah bergurau dengan Balqish dulu. Balik-balik je tengok adik yang bongsu sedang memasak. Wah.. ni dah kurang satu kerja saya. Walaupun pada awal-awal kelahiran Balqish saya bercadang nak terus berhenti kerja dan tinggal di rumah namun apabila melihatkan kerja-kerja suami yang bertambah dari sehari ke sehari membuatkan saya rasa kasihan. Jadi saya membuat keputusan untuk membantu suami dan datang ke pejabat mengikut kesesuaian saya.

Selesai semua kerja dirumah dan membersihkan diri, saya mula membuka dan menyelak satu-satu novel dan buku yang saya beli di PBKL tempohari. Entah yang mana saya nak mulakan pembacaannya dulu. Dalam pada membelek saya pun tak perasan bila saya terlelap. Saya hanya terjaga apabila telefon tangan saya berbunyi. Rupanya kak Razia yang menelefon. Dia memberitahu saya yang ayah kak Jana iaitu Pakcik Adam telah hilang dari pukul 9 pagi. Mereka sedang mencari dan mengesan pakcik adam dibantu oleh polis dan bomba. Saya yang terpisat-pisat terus menelefon suami saya meminta supaya suami dapat balik dengan kadar segera (suami sedang bermain badminton di penjara seremban)

Jam 9.45 malam saya, suami, suami kak razia dan suami kak jana bertolak ke masjid tanah, melaka. Kami pergi menaiki kereta Sport Celica kepunyaan abang hisam (suami kak razia). Apalagi macam nak masuk perlumbaan formula one lajunya. Dengan harapan dapat sampai awal dan membantu mencari pakcik adam bersama-sama. Tapi dalam perjalanan kami diberitahu yang pakcik adam telah ditemui hampir berbatu-batu jauhnya dari rumah kg kak jana. Lega rasanya hati kami semua. Setidak-tidaknya kami tahu yang pakcik adam telah dijumpai dalam keadaan selamat. Kalau tidak pelbagai andaian buruk berada di fikiran kami waktu tu..

Sampai sahaja saya melihat pakcik adam sedang duduk menonton tv seolah-olah tidak pernah berlaku apa-apa. Mungkin faktor usia yang telah lanjut membuatkan pakcik adam jadi pelupa. Saya pula tak sampai hati nak bertanya banyak dengan pakcik adam kerana saya merasakan sehari suntuk berjalan tanpa makan dan minum mungkin meletihkan pakcik adam. Jadi saya dan suami banyak berbual dengan mak kak jana. Apa yang saya tahu dari ceritanya pakcik Adam telah dibawa berjalan-jalan dengan dua orang lelaki yang tidak dikenali. Sepanjang perjalanan pakcik Adam langsung tidak berasa lapar atau haus dan dibawa berjalan di sebuah tempat yang tidak pernah pakcik Adam pergi. Lama berjalan kemudian ditinggalkan Pakcik Adam di sebuah surau di sebuah kampung. Persoalannya siapakah dua orang lelaki tersebut? Dan bagaimana seorang yang sudah tua boleh berjalan berbatu-batu jauhnya tanpa makan dan minum? Semua persoalan hanya tinggal persoalan. Yang dapat menjawabnya hanya pakcik Adam dan Tuhan sahaja yang mengetahui..

Selesai semua perkara, seperti biasa agenda kami berenam pastinya minum dan makan. Perjalanan kami diteruskan ke Pengkalan Balak untuk makan sate. Hampir jam 12 malam barulah kami berangkat pulang ke seremban. Kak Jana dan abang nizam pulang semula ke rumah kg mereka kerana telah mengambil cuti hari ini. Jadi tinggal kami berempat yang pulang ke seremban. Dalam perjalanan tak sudah-sudah kami memikirkan siapakah lelaki yang membawa pakcik Adam itu. Adakah orang bunian? Entahlah... Setiap kejadian itu telah ditakdirkan dan siapa sebenarnya mereka itu hanya Tuhan yang tahu (wah..wah.. ni macam tajuk novel kak rose harissa la pulak).




Monday, April 27, 2009

Hari Terakhir Pesta Buku Antarabangsa 2009

Sejak saya balik dari Serawak, saya langsung tidak sempat update entry baru dalam blog ni. Si Balqish diserang cirit birit yang berpanjangan. Mulanya risau juga saya. Tapi doktor kata mungkin disebabkan oleh susu yang kurang sesuai dengan Balqish. Atas nasihat doktor juga saya telah menukar susu Enfalac kepada susu Novalac iaitu susu yang khas untuk kembung perut dan cirit birit. Tapi susu Novalac ini tidak sesuai diamalkan berterusan. Setelah masalah cirit birit Balqish ok, saya perlu menukarkan semula kepada susu Enfalac. Atas sebab itu jugalah saya tidak sempat berkunjung ke Pesta Buku Antarabangsa di PWTC. Namun atas kemahuan hati saya yang kuat untuk berjumpa dengan penulis-penulis tersohor negara dan juga sahabat maya yang saban hari saya temui di laman blog sahaja, akhirnya saya pergi juga mengunjungi pesta buku tersebut. Oleh kerana suami saya tidak dapat pergi bersama, saya mengajak Kak Razia menemani saya. Nasib baik Kak Razia tahu jalan ke PWTC. Kalau ikut saya alamatnya satu KL saya pusing nanti.

Saya sampai ke PWTC dalam pukul 12.15 tghr. Disebabkan hari ini adalah hari yang terakhir pengunjung yang datang agak ramai dari kebiasaan (kak nik yang beritahu sbb kak nik adalah pengunjug setia). Nasib baik saya tidak membawa Balqish bersama kalau tak mahu haru biru dibuatnya. Sampai saja saya melihat pelbagai ragam manusia yang berbeza. Begitu juga dengan penjual yang mempunyai pelbagai cara untuk menarik perhatian pengunjung membeli produk mereka. Antara yang saya kenali iaitu pengacara rancangan Kalam Suci Ustaz Zulkarnain Hamzah Al-Hafiz, beberapa ahli kumpulan Hijjaz, selebriti tv3 Sharifah Shawati dan beberapa lagi yang saya perasan mukanya tapi tak ingat namanya.

Booth yang sebenarnya saya cari adalah booth NB Kara. Sampai saja di booth NB saya dah perasan penulis yang admire pun berada bersama kak Norhayati Berahim. Siapa lagi kalau bukan Kak Lily Haslina Nasir dan Kak Nora Ismail @ Rose Harissa. Dari pemerhatian saya, booth NB ni sentiasa dipenuhi dengan pengunjung yang ingin beramah mesra, bergambar dan membeli buku keluaran NB Kara. Kesian saya tengok kak Sue kerana tak berhenti menekan mesin duit menerima pembayaran dari pembeli. Sampai takde suara dengarnya. Saya pula sibuk nak bergambar dengan kak lily dan kak nora. Maklumlah entah bila dapat berjumpa lagi lepas ni.


Tengoklah kak Norhayati Berahim tak berhenti menandatangani buku untuk peminatnya. Sekali pandang dah macam selebriti tv pulak kak yati ni..

Saya kalau dah jumpa kak yati memang tak boleh berhenti bercerita. Ada-ada saja yang kami bualkan. Kerana sejak saya kehilangan ibu, kak yati menjadi tempat rujukan saya terutama yang melibatkan Balqish. Ala-ala kaunter pertanyaan la kak yati ni. Tapi saya terpaksa menghadkan perbualan kerana memberi peluang kak yati melayan peminat yang lain.

Inilah Kak Razia yang menemani saya ke pesta buku. Bukan setakat temankan saya saja malah menjadi jurugambar tak berbayar petang itu. Gambar saya semua kak razia yang ambilkan. Thanks kak...

Bukan sukar memujuk anak dara kak yati ni bergambar sama. Tunjuk je camera bibir mungil Qaisara dah mula tersenyum. Saya pula walaupun dah banyak bergambar dengan Qaisara tetap nak ambil juga sebagai kenangan di pesta buku. Umminya sibuk layan peminat, anaknya sibuk berposing...

Sekeping lagi gambar saya bersama kak yati akan saya bawa pulang. Kak Yati ni peramah orangnya dan baik tau!! (kak yati, ada royalti tak puji lebih sikit? he..he..) Saya tidak membeli buku kak yati di pesta buku ini sebab saya telah ada kesemuanya. Jadi seperti biasa borak, borak dan borak je la...

Inilah kak Lily Haslina Nasir. Saya terpaksa pose ala-ala model sebab semua penulis duduk. Kak Lily ni saya kenali melalui buku beliau yang agak lama iaitu Mencari Diri. Saya ingat lagi kalau tak silap saya meminjam buku tersebut dari kawan saya ketika saya study di EDI College di Taman Melawati. Sekian lama beradmire dengan penulis mencari diri, barulah kenali orangnya. Kalau nak tahu, banyak yang ingin saya tanyakan pada kak lily tetapi kegugupan saya menghalangnya. Akhirnya tak banyak yang dapat saya borakkan dengan kak lily. Jika berkesempatan di lain kali berjumpa dengan kak lily akan saya gunakan untuk bercerita dan bertanya lebih banyak lagi.

Inilah Kak Nora Ismail @ Rose Harissa. One of my favourite writer.. kira admire jugalah. Seperti kak lily dengan kak nora ni pun saya rasa sangat-sangat gugup. Saya pun tak tahu mengapa tiba-tiba rasa macam tu sedangkan saya seorang yang ceria. Saya rasa kak nora ni seorang yang gila-gila macam saya kot.. Tengoklah tangannya tu.. Ala-ala penyanyi rock gitu! Best sungguh dapat jumpa kak nora ni. Sampai terbawa dalam mimpi..he..he..

Ni pula Zuliana Abuas penulis buku Viva Sakura. Perjumpaan ni perjumpaan kali kedua selepas di rumah kak yati masa birthday Qaisara. Kekok juga pada mulanya. Lama-lama okey sikit. Saya tanya pada Jue next produk after Viva Sakura. Katanya dalam perancangan. Harap-harap selepas Viva Sakura, Jue akan menghasilkan buku yang lebih power lagi. Insyaallah...

Iejay Zakaria penulis novel Lagu Cinta. Pertama kali mengenalinya buat saya rasa sangat senang. Walaupun tidak banyak yang dibualkan namun senyuman manis yang sentiasa di bibir iejay buat saya rasa selesa. Doa saya moga iejay akan menjadi penulis yang tersohor satu hari nanti sentiasa dapat melahirkan buku-buku yang baik dan berbeza gaya penceritaannya.

Salah satu sebab saya terpanggil untuk datang ke pesta buku tersebut adalah kerana wanita bertudung hitam ini. Perjumpaan yang santai dan dikelilingi dengan anak-anak yang comel. Inilah dia Nik Fauziah Nik Hussin (majalah muslimah). Terima kasih kak Nik sebab sudi tunggu saya datang. Walaupun berjumpa sekejap di Pan Pacific namun ianya amat bermakna buat saya. Harap-harap persahabatan kita berterusan sampai bila-bila..

Saya hampir tidak dapat berjumpa dengan Kak Sarnia. Ini kerana kak sarnia tidak berada di booth NB Kara. Nasib baik ketika saya tercari-cari jalan keluar saya ternampak kelibatnya. Alhamdulillah dapat juga kita berjumpa walaupun sekejap. Untuk memberikan sokongan kepada kak sarnia saya membeli juga buku terbaru kak sarnia bertajuk Tiada Yang Kedua. Apalagi kalau berjumpa terus snap gambar la...

Semasa kak sarnia menandatangani buku tiada yang kedua untuk saya. Thanks kak.. Sayang akak!!!!

Inilah buku yang sempat saya beli semasa di sana. Ini tidak termasuk cd zikir munajat dan ceramah agama. Nasiblah saya pergi pada hari terakhir pesta buku. Kalau tak mahu berdozen saya beli buku.

Pada Kak Norhayati Berahim, terima kasih kerana sudi melayan saya. Buat Kak Razia, thanks sebab sudi tunjukkan jalan ke PWTC. Untuk kak Lily dan Kak Nora, insyaallah lain masa dan ketika kita repeat balik kekurangan perjumpaan kita. Jue dan Iejay semoga success selalu. Buat kak sarnia tahniah la dua buku keluar serentak. Laris gitu!!! And last for my lovely sister kak Nik, pertemuan itu menjadi salah satu saat terindah dalam hidup saya. Thanks for all of you...