CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Wednesday, November 26, 2008

Nilai Sebuah Persahabatan..

Seperti biasa percutian saya kalau tidak bersama keluarga tentu saja bersama 2 pasangan sahabat karib saya ini. Setakat ini kami telah pergi ke beberapa destinasi percutian dalam dan luar negeri. Sayangnya semasa mereka pergi ke Europe saya tidak dapat ikut kerana waktu dan ketika itu saya dan suami masih belum menjadi suami isteri. Mungkin ada sesuatu yang istimewa dalam persahabatan kami yang menyebabkan kami menjadi begitu rapat dan satu kepala.

Pasangan ini adalah pasangan yang paling senior antara kami. Masing-masing berumur 39 tahun. Sudah mempunyai 3 hero yang aktif dan lincah. Kami menggelarkan pasangan ini Balong dan Kaklong. Antara kami semua pasangan ini yang paling pandai memasak termasuklah suaminya sekali. Suaminya bernama Nizam Bin Hailon manakala isterinya bernama Norjana Bt Adam. Saya sangat-sangat menyenangi dan menghormati mereka apatah lagi saya merupakan anak yang sulung dalam keluarga. Kadang-kala saya banyak meminta nasihat dari mereka lebih-lebih lagi mereka telah lama mendirikan rumahtangga. Saya juga sangat menyukai air tangan kedua-dua mereka. Baru-baru ini mereka membuatkan saya Pecal. Sedapnya sampai 5 kali saya tambah. Teringat kepada Pecal arwah ibu yang telah lama saya tak rasa. Kalau mungkin pecal yang mereka buat tak sesedap arwah ibu namun itu sudah cukup membuat saya rasa bahawa saya ada mereka untuk menumpang kasih...

Pasangan ini pula adalah pasangan yang selalu berbeza pendapat namun kami semua terhibur dengan usik-usik manja antara mereka. Telah mendirikan rumahtangga selama hampir 11 tahun namun masih belum dikurniakan cahayamata. Mereka tidak pernah menjadikan anak sebagai satu alasan untuk tidak bergembira. Kehidupan mereka sangat simple dan sesuai dengan kritirea yang mereka miliki. Suami bernama Hisam B Mohd Said dan isterinya bernama Razia Binti Johar. Saya pula suka berkongsi cerita mengenai perasaan yang tidak dikurniakan cahayamata dengan kak razia. Kami mengelarkan diri mereka bangah dan kakngah. Sikap suka terperanjat suaminya selalu menjadi bahan usikan antara kami. Selalunya isterinyalah yang akan menyebelahi suaminya. Kalau kami ingin berjalan atau pergi ke satu destinasi yang belum pernah kami jejaki lagi, haaa... pasangan inilah yang selalu menjadi mangsa. Biasanya mereka akan mencari informasi yang lengkap tentang destinasi tersebut termasuk booking flight, hotel dan sebagainya. Kalau takde mereka susah juga kami. Dan kelebihannya si suami ini pula pandai pelbagai bahasa jadi memudahkan kami semua berkomunikasi di negara orang. Pendek kata kalau takde pasangan ini boleh mati kutu dibuatnya...


Emmm... Saya pula... Mereka menggelarkan saya dan suami Dik Su. Suami saya pandai berjenaka dan buat lawak. Kata mereka kalau takde suami saya tentu sunyi sepi dunia. Saya selalu menjadi orang tengah kalau mereka bertikam lidah bergurau. Dan tentunya mereka sangat mendahulukan saya dan suami dalam segala hal. Kalau beratur pun diberi laluan kepada kami dahulu. Kata mereka yang tua dan tengah kena jaga yang bongsu. Seronok juga jadi yang bongsu kan?

Walau apapun saya tetap menyayangi dan menghormati mereka semua. Kerana saya tahu mereka pun mengambil berat dan menyayangi saya. Walaupun mereka bukan saudara kandung saya namun kasih sayang yang mereka tunjukkan benar-benar mengharukan saya. Kala saya berdepan dengan ujian getir kehilangan ibu, mereka banyak memberikan semangat kepada saya. Mereka sentiasa berada disisi saya saat susah dan senang. Insyaallah kala hayat di kandung badan, budi dan jasa mereka pada saya akan saya kenang. Dan diharapkan persahabatan antara kami semua akan berterusan hingga hujung nyawa. Amin...

0 comments: