CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Saturday, November 8, 2008

Majlis Tahlil Arwah Yang Ke 100 Hari

Pada 2 Oktober 2008 yang lalu, genaplah sudah 100 hari arwah ibu saya meninggalkan saya sekeluarga. Masa berjalan begitu pantas meninggalkan kita dengan seribu kenangan. Disebabkan 2hb tu jatuh pada hari Ahad jadi saya mengambil keputusan untuk membuat tahlil arwah pada 1hb bagi memudahkan saudara mara yang datang dari jauh agar tidak terburu-buru untuk pulang. Majlis tahlil arwah yang saya adakan ini bersamaan hari dengan majlis jamuan hari raya anjuran NB Kara Sdn.Bhd. Jadi tak dapatlah saya menghadirkan diri di majlis Kak Yati Berahim.Walau apapun saya doakan agar perjalanan kedua-dua majlis berjalan lancar. Majlis tahlil arwah ibu saya ini saya adakan dirumah arwah ibu saya sendiri.
Seawal pagi suami telah sibuk ke pasar manakala saya pula menguruskan keperluan rumah. Menjelang pukul 10 pagi, jiran-jiran telah mula datang untuk membantu. Mujurlah ada jiran-jiran yang sudi datang menolong. Saya rasa sangat terharu dengan kebaikan yang jiran-jiran saya tunjukkan. Mungkin berkat arwah ibu dulu yang sentiasa berbuat baik kepada semua jiran. Saya berasa sangat beruntung mempunyai jiran yang sangat prihatin dan selalu bertanya khabar saya dan adik-adik yang lain. Saya menjamu jiran saya dengan kuih lapis dan kek milo yang dibuat oleh makcik saya. Saya rasa seronok bila melihat jiran-jiran saya bergurau dan mengusik sesama sendiri sambil membantu mengupas bawang, memilih beras, menyiang ikan dan sebagainya. Terima kasih yang tak terhingga.
Menu tengahari yang saya masakkan untuk mereka yang membantu ialah ikan kembung masak lemak, sotong masak hitam, sayur goreng dan ikan masin goreng. Meriah rumah saya bila makan beramai-ramai. Lepas makan terus menyiapkan perkakas untuk bahan-bahan memasak untuk makan kendurinya pula. Kerja bila dibuat beramai-ramai tentu sekejap aje siapnya. Saya pula mengambil kesempatan mengeluarkan semua pakaian arwah ibu saya yang masih ada baki (selepas diambil sedara mara terdekat) untuk diagihkan kepada jiran tetangga pula. Waktu ini saya tak dapat menahan air mata daripada mengalir. Walau cuba ditahan namun akhirnya tumpah juga. Mujur saya ditenangkan oleh jiran yang memahami perasaan saya.
Menjelang petang sudah ada saudara mara yang datang dari Kuala Pilah. Jiran-jiran pula sudah ada yang pulang untuk bersiap dan datang semula selepas waktu isyak. Saya dan makcik saudara pula meneruskan memasak untuk dimakan pada malamnya pula. Menu malamnya pula adalah kari ayam kentang, sambal sotong, kubis dan suun kicap, tempoyak daun kayu serta ikan masin bulu ayam. Walaupun badan terasa penat namun saya puas dapat menyiapkan semua menunya sebelum waktu magrib tiba. Dapatlah saya berehat sekejap selepas penat memasak dan menyediakan peralatan lain. Nasib baiklah bakal adik-adik ipar saya datang membantu. Ringan sikitlah kerja suami saya yang ditugaskan membentang meja dan menyusun kerusi. Saudara mara yang datang pula tidak dengan tangan kosong. Ada yang datang membawa kuih tepung pelita, ada yang bawa roti telur goreng dan bermacam lagi. Murah betul rezeki...
Selepas solat isyak, rumah arwah ibu saya telah mula dipenuhi orang-orang surau. Bila semuanya telah sampai majlis dimulakan dengan bacaan yasin dan tahlil. Waktu bacaan yasin saya berasa sangat tidak selesa. Ini kerana saya tidak dapat mengikut serta dalam kumpulan tersebut kerana lampu merah (period). Saya cuba menyibukkan diri di dapur untuk mengurangkan rasa sayu dan pilu dihati. Saya tidak mahu menitiskan air mata lagi. Apabila selesai membaca doa, mereka semua menjamu selera. Oleh kerana ruang rumah arwah ibu saya yang agak terhad, saya terpaksa menjamu mereka secara buffet. Mujur segalanya berjalan seperti yang dirancang dan segala-galanya mencukupi.
Alhamdulillah... semua yang dirancang berjalan dengan baik. Lauk pauk yang mencukupi dan dapat pula memberi bekal kepada jiran-jiran terdekat. Kepada saudara mara yang datang dari jauh dan dekat, terima kasih yang tidak terhingga. Untuk jiran tetangga yang membantu, hanya tuhan saja yang dapat membalas budi kalian.
Saya bersyukur tuhan memurahkan rezeki saya untuk membuat tahlil arwah ini. Kerana dengan rezeki yang tuhan bagi ini, saya dapat mengumpulkan dan meriuhkan rumah arwah ibu saya dengan kehadiran saudara mara dan sahabat handai.Walaupun arwah ibu sudah tiada lagi, saya akan meneruskan tradisi arwah ibu yang suka menjamu orang lain makan. Saya pasti arwah ibu sedang melihat apa yang saya lakukan. Saya harap terampun dosa saya pada arwah ibu samaada yang saya sengajakan atau tidak. Kadangkala saya terdail nombor telefon arwah ibu saya apabila saya terlupa. Terlupa yang arwah ibu telah tiada. Terlupa yang saya telah kehilangan seorang ibu. Walauapapun, semuanya telah ditentukan oleh Qada dan Qadar dari tuhan. Saya yakin tuhan menguji saya mengikut tahap kemampuan saya. Alhamdulillah..walau sukar saya harungi jua dugaan ini. Buat arwah ibu, semoga ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Ya Allah Ya Tuhanku, ku pinta kepadamu pinjamlah kepadaku ketabahan yang pernah engkau berikan kepada para rasulmu, berikanlah kekuatan sekuat pahlawan seperti sahabat Rasulluallah dan lorongkanlah aku kepada syurga yang engkau janjikan kepada mereka yang taat dan tidak ingkar kepada suruhanmu... Amin..

1 comments:

TIM TIM said...

kak, maaf ya...
sy rs akak silap tarikh lah..
bukan ker 2hb oktober tu hr khamis, hr kedua kita beraya dlm bulan syawal..
yg sepatutnya 2hb november sbb tarikh tu jatuh hr ahad...